Tuesday, July 30, 2013

Usah buang bekas racun dalam sungai

Sumber : Utusan Online, 30/7/13

PULAU PINANG 29 Julai - Sahabat Alam Malaysia (SAM) kesal dengan sikap segelintir pesawah di Kedah yang membuang bekas racun termasuk beg plastik baja ke dalam saliran dan sungai di kawasan sawah padi di negeri berkenaan.

Presiden SAM, S.M. Mohamed Idris berkata, tindakan tersebut bukan sahaja mencemarkan sistem saliran dan sumber air malah turut mengancam pembiakan ikan air tawar di kawasan berkenaan.
"Dalam tinjauan yang dibuat SAM baru-baru ini, kami dapati banyak botol racun dan beg plastik baja terapung di permukaan air di beberapa saliran dan sungai di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan kawasan sekitar.

"Selain jenama racun keluaran tempatan, kami juga menemui bekas racun yang diharamkan penggunaannya di negara ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

S.M. Mohamed berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, penggunaan racun oleh pesawah di kawasan MADA dan luar MADA di Kedah begitu aktif dan ketara berikutan ancaman makhluk perosak yang serius seperti tikus, siput gondang dan pembiakan rumput sambau.

"Keadaan ini amat membimbangkan SAM kerana amalan tersebut gagal dikawal dengan berkesan oleh pihak berkenaan.

"Masalah pencemaran air di kawasan sawah menjadi lebih serius apabila terdapat juga pihak yang menggunakan bahan toksik bagi membunuh rumpai untuk membersihkan saliran dan sungai," ujarnya.
Ekoran itu katanya, sisa rumput yang mati akan mendap serta menyebabkan saliran serta sungai menjadi cetek dan lebih buruk lagi tebingnya berpotensi untuk runtuh akibat hakisan.

"Keadaan sedemikian jika berterusan akan mencetuskan ancaman banjir. Oleh itu, SAM menggesa MADA, Jabatan Pertanian dan Jabatan Pengairan dan Saliran mengambil tindakan segera bagi mengawal masalah tersebut daripada berterusan," katanya.

Menurutnya, jika keadaan tersebut dibiarkan, alam sekitar akan terjejas dengan lebih teruk lagi pada masa akan datang dan mengancam kesihatan pesawah.

"Selain itu, ikan air tawar yang menjadi punca pendapatan dan sumber protein penduduk luar bandar akan pupus serta ancaman banjir yang lebih buruk mungkin berlaku," katanya.
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Thursday, July 11, 2013

Tapak pelupusan sisa toksik Pusat Kualiti Alam diubah lokasi

Source : Utusan Malaysia,  11/7/13

SEREMBAN 10 Julai - Tapak pelupusan sisa toksik Pusat Kualiti Alam (Kualiti Alam Sdn. Bhd.) di Bukit Nenas berdekatan Sendayan di sini berkemungkinan diminta mencari lokasi baharu yang lebih sesuai berikutan pembangunan rancak di sekitar kawasan berkenaan.

Kawasan seluas 56 hektar itu mula dibina pada tahun 1992 dan menerima sisa toksik pertamanya 1996 serta diberi lesen untuk beroperasi sehingga tahun 2015.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, walaupun pihak pengurusan pusat terbabit telah mematuhi undang-undang berkaitan alam sekitar sejak mula beroperasi, berkemungkinan tidak sesuai lagi di kawasan sedia ada itu.

''Kerajaan telah mengadakan rundingan dan berbincang tentang perkara itu bersama pihak pengurusan Kualiti Alam kerana kawasan berkenaan telah dikenal pasti untuk dibangunkan.

''Kami mahu mereka mengkaji perkara ini dengan serius untuk memikirkan semula operasi mereka di sini, memberi jaminan tidak akan berlaku sebarang masalah berhubung alam sekitar sekiranya mereka berhasrat melabur dalam teknologi baharu," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Kualiti Alam merupakan pusat pelupusan sisa toksik berjadual yang mempunyai pelbagai teknologi dan dimiliki oleh Kumpulan UEM.

Mohamad berkata, beliau telah mengadakan perbincangan dengan pengurusan kanan UEM berhubung perkara tersebut dua minggu lalu dan mereka meminta supaya tempoh keizinan operasi sehingga 2015 itu disambung.
''Saya beritahu mereka, kerajaan tidak menutup pintu perbincangan tetapi memandangkan pembangunan akan berpusat di kawasan terbabit, kami mahukan jaminan keselamatan orang awam, begitu juga alam sekitar," katanya sambil merujuk yang kerajaan negeri akan meletakkan beberapa syarat ketat, jika pusat ini diizinkan terus beroperasi kelak.

Pada masa sama Mohamad memberitahu, kerajaan akan mendapatkan khidmat perunding untuk menasihati perkara berkaitan kewujudan zon penampan di kawasan itu.

''Apabila pusat itu dibina dahulu, kawasan berkenaan memang terletak di pedalaman dan tidak mempunyai akses laluan. Tetapi sekarang kita telah membuka pembangunan di Enstek dan Sri Sendayan yang hampir dengan pusat itu serta menjadikan kawasan Nilai sebagai lokasi pembangunan baharu," jelas Mohamad.
Sementara itu ditanya berhubung ura-ura bahawa sisa toksik daripada projek Lynas akan dirawat di pusat Kualiti Alam ini, Mohamad berkata, itu tidak dalam pengetahuan beliau.

Bagaimanapun, kerajaan negeri tidak akan membenarkan dilakukan di sini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20130711/ws_04/Tapak-pelupusan-sisa-toksik-Pusat-Kualiti-Alam-diubah-lokasi#ixzz2tTvDYzJx
© Utusan Melayu (M) Bhd