Wednesday, October 21, 2015

12,829 notis kepada penghuni gagal asing sisa pepejal




PEKERJA Alam Flora membuang sampah pengasingan sisa pepejal di dalam lori Alam Flora di Taman Perumahan Bangsar. - FOto Rosela Ismail


KUALA LUMPUR: Sebanyak 12,829 notis peringatan sudah dikeluarkan kepada penghuni premis yang tidak mengasingkan sisa pepejal boleh dikitar semula setakat 30 September, persidangan Dewan Rakyat diberitahu. 

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata langkah itu bertujuan mendidik masyarakat selain memupuk budaya kitar semula bagi merealisasikan hasrat kerajaan mencapai sasaran 22 peratus kadar kitar semula negara menjelang 2020. "Kita akan laksanakan (notis peringatan) secara berterusan bagi meningkatkan kesedaran awam untuk mengasingkan sisa pepejal sebelum tindakan lebih tegas diambil pada masa akan datang," katanya di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Shaharuddin Ismail (BN-Kangar) yang meminta kerajaan menyatakan sambutan terhadap undang-undang pengasingan sisa pepejal yang dijalankan sejak September lalu. Inisiatif pengasingan sisa buangan, yang tertakluk di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dilaksanakan di Kuala Lumpur, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah bermula 1 September lalu.

 Abdul Rahman berkata, walaupun pelaksanaan pengasingan sisa pepejal hanya dilaksanakan secara mandatori di negeri-negeri terbabit, kementerian menjalankan kempen di peringkat nasional untuk menggalakkan penduduk di negeri-negeri lain menjayakan inisiatif yang baik itu. Katanya, pelaksanaan pengasingan sisa pepejal merangkumi tiga fasa iaitu pendedahan, pendidikan dan penguatkuasaan. 

"Promosi yang berterusan dijalankan menerusi media konvensional seperti surat khabar, televisyen dan radio. Juga di media digital seperti Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube bagi memperkasa kefahaman orang ramai selain menjadikan budaya pengasingan sisa pepejal sebagai suatu budaya hidup," katanya. 

Sehingga bulan ini katanya, risalah mengenai program pengasingan sisa pepejal diedarkan kepada dua juta premis di negeri-negeri terbabit. Abdul Rahman berkata, walaupun pelaksanaan program itu baru memasuki fasa kedua, namun barangan kitar semula yang telah dikutip syarikat konsesi telah mencapai 100 tan. 

"Ini petanda positif menunjukkan masyarakat telah membudayakan pengasingan sisa di kediaman dan secara langsung dapat mengurangkan jumlah sisa pepejal dilupuskan di tapak pelupusan," katanya. - BERNAMA

http://www.bharian.com.my/node/90563