Tuesday, February 24, 2015

Pengasingan wajib sisa pepejal isi rumah mulai September - TPM

Source : Berita Harian Online 


TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin ketika merasmikan Pelan Transformasi Minda ke arah negara bersih, indah dan sejahtera di sini, hari ini. Hadir sama, Menteri KPKT, Datuk Abdul Rahman Dahlan (dua dari kiri). - Foto Mohd Fadli Hamzah


PUTRAJAYA: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menetapkan secara mandatori pengasingan sisa pepejal isi rumah secara berperingkat mulai September ini. 

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kutipan sisa yang diasingkan itu akan dilaksanakan mengikut jadual ditetapkan dan dijalankan sepenuhnya di negeri yang menerima pakai Akta 672. Negeri berkenaan termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah.

 Pelaksanaan peraturan baru itu adalah sebahagian usaha kerajaan untuk mengurangkan penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan yang ketika ini semakin meruncing. "Ia sekali gus dapat meningkatkan aktiviti 3R (Reduce, Reuse, Recycle) dan kadar kitar semula dengan lebih giat lagi di peringkat kebangsaan," katanya berucap merasmikan Majlis Pelan Transformasi Minda ke arah negara bersih, indah dan sejahtera di sini, hari ini. 

Hadir sama, Menteri KPKT, Datuk Abdul Rahman Dahlan. Muhyiddin berkata, Pelan Transformasi Minda yang menggariskan pelbagai strategi dan tindakan komprehensif akan menjadi antara agenda utama negara untuk memacu Malaysia ke status negara maju, serta menyemai minda kelas pertama dan budaya sivik yang cemerlang. Kerajaan juga berharap pelan ini akan meletakkan Malaysia pada landasan betul dan terarah khususnya dalam mencapai hasrat untuk disenaraikan sebagai 10 negara yang terbersih di dunia menjelang 2020.

 "Kerajaan berharap masyarakat akan dapat melihat secara matang keperluan memelihara alam sekitar, mengutamakan kebersihan, kelestarian dan keindahan persekitaran serta menghargai sisa pepejal sebagai salah satu sumber ekonomi kepada masyarakat," katanya. Terdahulu ketika memulakan ucapan, Muhyiddin berkata, kerajaan membelanjakan lebih RM1.4 bilion bagi kos perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam pada tahun lalu saja.

 "Ini adalah satu pembaziran kepada kerajaan dan kerugian kepada masyarakat sendiri sekiranya kita tidak dapat meningkatkan sikap dan perasaan lebih bertanggungjawab ke atas alam sekitar dan kesihatan awam," katanya. Kadar kitar semula nasional hari ini hanya berada di tahap 10.5 peratus saja dari jumlah bahan buangan yang dilupuskan, berbanding negara maju yang melebihi 40 peratus.

Pelbagai usaha telah dilaksanakan pihak kerajaan untuk menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan kitar semula akan tetapi amalan ini masih belum mencapai sasaran, tambah Muhyiddin. Disebabkan amaun bahan yang dibuang ke tapak pelupusan setiap tahun pula dianggarkan sebanyak 2.3 juta tan dengan nilai mencecah RM900 juta, pastinya peningkatan kadar kitar semula akan membawa manfaat besar dari segi penggunaan semula sumber dan peningkatan ekonomi negara.

http://www.bharian.com.my/node/36545

Saturday, February 15, 2014

Mata pencarian nelayan terjejas



JOHOR BAHRU 15 Feb. - Sejumlah 38 nelayan dari Kampung Plentong Tengah di sini mendakwa hampir hilang mata pencarian akibat pencemaran disebabkan pembuangan sampah-sarap di Sungai Plentong yang berlarutan selama setahun dan menjadi semakin meruncing sejak minggu lalu.
Ketua Nelayan Kampung Plentong Tengah, Asmadi Jidin, 68, berkata, warna air sungai berubah menjadi hitam dan menghasilkan selut yang luar biasa selain bau busuk, dipercayai pembuangan sampah sarap oleh penduduk.

"Ia mengakibatkan aktiviti menangkap udang dan ikan terjejas, malah sejak seminggu lalu air terlalu kotor. Jika dulu kami dapat bawa balik sehingga lapan kilogram udang dan ketam, sekarang ini mahu mendapatkan sekilogram pun sukar walaupun bekerja dari pagi sampai ke petang," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Dia yang menetap di kawasan tersebut sejak 40 tahun lalu berkata, pencemaran memburukkan lagi keadaan kerana sebelum ini hasil tangkapan telah pun berkurangan disebabkan penambakan pasir dan penebangan hutan bakau di situ.

Osni Sulong, 48, yang menjadi nelayan sejak di usia remaja berharap pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Alam Sekitar dapat memberi perhatian terhadap permasalahan yang berlaku sebelum melarat.

"Sungai bertambah keruh ketika paras sungai mulai surut dan dikhuatiri menjadi semakin teruk sekiranya tindakan pembersihan tidak dilakukan segera. Golongan nelayan berharap pencemaran yang berlaku mendapat perhatian sewajarnya dari pihak berwajib agar tidak berterusan," katanya.

Sementara itu rakannya, Shukor Ismail, 57, memberitahu, kebanyakan mereka kini terpaksa bergantung kepada wang simpanan untuk meneruskan kehidupan.

"Kami berharap masalah ini dapat diselesaikan segera agar nelayan di sini dapat meneruskan aktiviti menangkap ikan seperti biasa.

"Masalah ini bukan sahaja berlaku pada nelayan Kampung Plentong Tengah, tetapi juga mereka yang bekerja sebagai nelayan di kampung-kampung sekitar sini," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Johor/20140216/wj_01/Mata-pencarian-nelayan-terjejas#ixzz2tTWIbfmh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Friday, February 14, 2014

Kitar semula hanya 10.5 peratus

Sumber : Utusan Malaysia, 14/2/14

PUTRAJAYA 13 Feb. - Malaysia ketika ini hanya mencatatkan kadar kitar semula sebanyak 10.5 peratus, jauh ketinggalan berbanding negara-negara maju yang telah menjangkau lebih 70 peratus.
Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Noriah Hashim berkata, situasi itu berlaku ekoran sikap kurang peka masyarakat terhadap pengurusan sampah yang boleh dikitar semula.

Katanya, jika masalah tersebut tidak diatasi, tidak mustahil negara ini berdepan masalah pengurusan sampah pada masa akan datang, sekali gus mewujudkan persekitaran yang tidak sihat.
"Hasil kajian oleh kementerian mendapati setiap individu membuang sampah sebanyak 0.8 kilogram sehari, jadi anda bayangkan berapa banyak sampah yang dibuang oleh 28 juta penduduk negara ini dalam masa sehari.

"Pada 2012, kita juga mencatat rekod yang kurang baik apabila dalam sehari telah menjana 30,000 hingga 33,000 tan sampah sedangkan jumlah itu adalah jangkaan kementerian untuk tahun 2020," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah Peringkat Kebangsaan anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif PPSPPA, Datuk Ab. Rahim Md. Noor dan Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Datuk Dr. Nadzri Yahaya.

Menurut Noriah, bagi meningkatkan tahap kesedaran masyarakat di negara ini berhubung kempen kitar semula, pihak bertanggungjawab diminta memperluaskan pendidikan serta kempen bagi memupuk budaya kitar semula.

"Masyarakat kena peka dalam hal ini kerana sebelum ini mereka hanya anggap plastik, botol dan kertas sahaja yang boleh kitar semula walhal, banyak lagi sampah lain yang boleh dikitar misalnya sisa makanan.
"Untuk statistik komposisi pembuangan sampah di negara ini, yang tertinggi adalah sisa makanan iaitu 44.5 peratus diikuti plastik 13.8 peratus, lampin pakai buang 12.1 peratus dan sisa taman sebanyak 5.8 peratus," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan yakin mampu meningkatkan kadar kitar semula sehingga 22 peratus menjelang 2020.

© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pembakaran terbuka dipantau

Sumber : Berita Harian, 14/2/14

Gua Musang: Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang dikesan membakar sampah di tapak pelupusan Kampung Renok Baru, di sini. 

Tindakan tegas itu terpaksa diambil bagi mengelak asap tebal menyelubungi Jalan Gua Musang-Kuala Krai yang boleh mengundang bahaya kepada pengguna. 

Penolong Pegawai Kesihatan dan Persekitaran MDGM, Mohd Hisham Hassan, berkata perbuatan membakar sampah di situ boleh mencetuskan pelbagai bahaya kepada orang ramai terutama ketika musim kemarau kini

Beliau berkata, kawasan pelupusan sampah itu kerap dibakar mereka tidak bertanggungjawab hanya kerana ingin mencari besi untuk dijual. 

“Kita kini memantau tapak pelupusan sampah itu supaya kejadian membakar sampah tidak berlaku lagi selepas ini,” katanya selepas meninjau operasi memadamkan kebakaran kawasan pelupusan sampah itu, di sini. 

Dua jentera terbabit operasi 

Operasi berkenaan membabitkan dua jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang dan Bomba Sukarela Kampung Baru dengan lapan anggota. 
Pasukan itu mengambil masa lebih lima jam untuk memadamkan kebakaran dengan dipantau Jabatan Alam Sekitar (JAS) cawangan Gua Musang. 

Sementara itu, Penolong Pegawai Kawalan JAS Cawangan Gua Musang, Isman Ismail, berkata kebakaran pada musim kemarau boleh menyebabkan kemusnahan alam sekitar. 

Justeru, beliau bersama pegawai lain akan turut memantau semua kawasan tumpuan sekitar daerah ini, bagi mengelak kebakaran terbuka sama ada sampah atau hutan. 

Thursday, February 13, 2014

Semak, sampah merimaskan


PENDUDUK kesal kerana sampah-sarap dibuang sesuka hati hingga menjejaskan kawasan perumahan di Solok Kemuning, Klang semalam.

KLANG 12 Feb. - Penduduk di sekitar Solok Kemuning, Teluk Gadong dekat sini kesal ekoran sebuah tanah kosong di kawasan itu yang terbiar sehingga ditumbuhi semak samun dan pokok sekali gus menjejaskan perumahan tersebut.

Mereka juga 'sakit mata' apabila melihat sampah sarap yang bertaburan di kawasan berkenaan.
Bukan sahaja sisa domestik, malah perabot terpakai dan kotak turut dilonggokkan di situ selain sistem perparitan dipenuhi sampah serta tidak diselenggara.

Perbuatan tidak bertanggungjawab itu didakwa dilakukan oleh 'orang luar' yang membuang sampah tersebut tanpa rasa bersalah terhadap persekitaran walaupun telah diletakkan papan tanda larangan membuang sampah.

Penduduk juga bimbang jika ia menjadi habitat haiwan liar selain tempat pembiakan nyamuk aedes.
Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi terbabit hari ini mendapati, sebuah rumah usang yang tidak berpenghuni terdapat di kawasan berkenaan.

PAPAN tanda larangan membuang sampah yang dipasang oleh MPK tidak dipedulikan oleh segelintir pihak. - UTUSAN/IZHAM JAAFASeorang penduduk, Lee Soon Seng, 36, berkata, keadaan itu telah berlarutan sejak sekian lama dan tidak diketahui siapa pemilik asal rumah berkenaan.

"Saya pernah dimaklumkan bahawa kawasan itu akan dibangunkan dengan rumah banglo lima tahun lalu.
"Ada pihak yang datang membersihkan tanah kosong itu. Namun, sehingga sekarang tiada perkembangan lanjut berhubung pembinaan tersebut dan kawasan itu kembali dipenuhi semak samun," katanya.

Seorang lagi penduduk, Muhammad Tahir Abdul Salam (gambar), 30, memberitahu, sampah sarap tersebut dipercayai menjadi punca pembiakan nyamuk aedes di kawasan itu.

"Demam denggi yang dihidapi oleh anak saudara saya berkemungkinan berpunca dari kawasan tersebut. Pihak Majlis Perbandaran Klang (MPK) ada datang membuat semburan di kawasan ini," jelasnya.
Rakannya, Amir Mahmood Shaqed, 30, berharap pihak MPK dapat menyelesaikan kemelut yang dihadapi oleh penduduk.

"Saya meminta pihak MPK membersihkan kawasan tanah kosong itu termasuk sampah tersebut dengan segera," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kota/20140213/wk_03/Semak,-sampah-merimaskan#ixzz2tTZkOBaA
© Utusan Melayu (M) Bhd