Thursday, November 26, 2009

Pelbagai inisiatif kembangkan teknologi hijau

Date : 26/11/09

Source : Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 25 Nov. - Kerajaan mengambil pelbagai inisiatif memacu perkembangan teknologi hijau termasuk menubuhkan Majlis Penasihat Teknologi Hijau Kebangsaan yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan juga akan menumpukan kepada usaha membangkitkan kesedaran peluang perniagaan dalam bidang teknologi itu.

Di samping itu, kata beliau, kerajaan turut menimbangkan pemberian insentif kepada syarikat-syarikat yang menggunakan teknologi hijau.

"Inisiatif permulaan untuk projek teknologi hijau telah diumumkan dalam Bajet 2010 yang dibentangkan baru-baru ini.

"Kerajaan juga akan menubuhkan dana berjumlah RM1.5 bilion untuk menyediakan pinjaman mudah kepada syarikat yang membekal dan memanfaatkan teknologi hijau," katanya.

Beliau berucap pada majlis Anugerah Bunga Raya Perdana Menteri di sini malam ini.

Turut hadir Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas dan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola anugerah berkenaan, Datuk Kok Wee Keat.

Anugerah Bunga Raya Perdana Menteri mengiktiraf pencapaian syarikat yang beroperasi di negara ini dalam bidang alam sekitar.

Sementara itu, Muhyiddin menegaskan, kerajaan amat komited untuk mengurangkan dan mengimbangi pelepasan karbon untuk bagi menangani pemanasan global.

Malah, katanya, Malaysia diiktiraf sebagai negara paling aktif di Asia Tenggara dalam usaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau melalui keanggotaannya dalam Mekanisme Pembangunan Bersih (CDM).

"Kerajaan telah mewujudkan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Perubahan Iklim dipengerusikan sendiri Perdana Menteri dan polisi mengenai perubahan cuaca juga telah dirumus.

"Selaku negara yang menandatangani Protokol Kyoto, kita harap sidang kemuncak di Copenhagen, Denmark pada Disember ini mampu menggambarkan komitmen global menyelesaikan masalah perubahan iklim," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata, kerajaan menyasarkan 25 peratus kadar kitar semula barang buangan pada 2010.

Katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) berperanan penting memastikan persekitaran bersih dan mesra alam bagi membolehkan rakyat bekerja dan menjalani kehidupan dalam suasana yang kondusif.