Saturday, August 26, 2017

Tambak laut di P. Pinang tidak akan diluluskan jika jejas rakyat, alam sekitar

Source : Utusan Online
url : http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tambak-laut-di-p-pinang-tidak-akan-diluluskan-jika-jejas-rakyat-alam-sekitar-1.519281

PULAU PINANG 26 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan projek tebus guna tanah bagi membentuk tiga buah pulau buatan di selatan perairan negeri ini tidak akan diluluskan sekiranya menjejaskan penduduk dan alam sekitar.
Menurut Perdana Menteri, dua kriteria itu seharusnya menjadi pertimbangan utama dalam mana-mana projek pembangunan selain perlu mempertimbangkan pelan alternatif yang menjimatkan wang rakyat.
“Berdasarkan kriteria-kriteria ini, Kerajaan Pusat akan tentukan pendirian kita berhubung cadangan tambakan laut seluas kira-kira 1,800 hektar oleh Kerajaan DAP Pulau di sini,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Jamuan Rakyat di Balik Pulau di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tambak-laut-di-p-pinang-tidak-akan-diluluskan-jika-jejas-rakyat-alam-sekitar-1.519281#ixzz4qyBn58q4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Friday, August 25, 2017

Sisa buangan jejas keindahan Langkawi

Source : Utusan Online
url : http://www.utusan.com.my/rencana/forum/sisa-buangan-jejas-keindahan-langkawi-1.518755




PANTAI Kok, Langkawi dicemari sampah sarap dan sisa buangan lain. GAMBAR IHSAN SAM



SAHABAT Alam Malaysia (SAM) menggesa Majlis Perbandaran Langkawi (MPL) mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah pencemaran sisa buangan yang menjejaskan alam sekitar dan keindahan pulau tersebut. 
Dalam tinjauan dibuat di Pantai Kok, Teluk Ewa dan Bukit Malut baru-baru ini, SAM mendapati keadaan di beberapa lokasi di kawasan berkenaan cukup kotor dan jijik dipandang. 
Pelbagai bahan buangan seperti kertas, barangan plastik dan sisa binaan dilonggokkan oleh pihak tidak bertanggungjawab di tepi jalan di kawasan tersebut yang sering dilalui oleh orang ramai.
SAM bimbang keadaan tidak bersih itu akan menjadi tempat pembiakan nyamuk dan tikus yang boleh mencetuskan pelbagai masalah kesihatan dalam kalangan penduduk tempatan serta pelancong yang melawat pulau berkenaan. 
Pihak kami kesal walaupun masalah itu sudah lama berlaku namun tiada tindakan diambil bagi mengatasinya. 
Jika masalah itu dibiarkan berlarutan, pulau legenda berkenaan akan tercemar dengan lebih serius lagi pada masa akan datang. 
Justeru, MPL digesa mengambil tindakan tegas ke atas pihak terbabit dengan menguatkuasakan undang-undang sedia ada bagi memastikan masalah serupa tidak berulang. 
Di samping itu, pihak kami berharap MPL mempertingkatkan kawalan dan penguatkuasaan bagi mencegah berlakunya pencemaran alam sekitar yang lebih serius di tapak pelupusan sampah di Kilim. 
SAM mendapati udara di kawasan tersebut dicemari bau busuk dan wujud kebimbangan air daripada sisa sampah akan mencemarkan sungai berdekatan.
S.M. MOHAMED IDRIS
Presiden SAM


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/forum/sisa-buangan-jejas-keindahan-langkawi-1.518755#ixzz4qyDHbDEy
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Thursday, August 24, 2017

Ribuan ikan mati Nelayan dakwa akibat pencemaran kilang


Source : Utusan Online
url : http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/johor/ribuan-ikan-mati-1.518449


PENDUDUK kampung mengumpul ikan yang ditemui terdampar di tebing Sungai Johor di Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Kota Tinggi, Johor, kelmarin. UTUSAN/FARIK SALLEH


KOTA TINGGI 23 Ogos - Seminggu lalu orang ramai dikejutkan dengan ceri­ta­ lambakan ikan di Pantai Tu­an Seh, Tanjung Sedili dekat sini dan semalam dianggarkan ribuan ikan pula ditemukan mati dipercayai akibat pencemaran air di sepanjang tebing Sungai Johor. 
Dianggarkan hampir satu tan metrik ikan daripada ­spesies baung, lampam dan udang galah dilaporkan musnah menyebabkan pendapatan lebih 28 nelayan Sungai Johor di Kampung Orang Asli Sayong Pinang, dekat sini terjejas.
Penduduk mendakwa, pencemaran itu berpunca daripada pe­lepasan sisa toksik dan bahan kimia daripada kilang-kilang yang beroperasi di sepanjang sungai tersebut.
Tinjauan Utusan Ma­laysia bersama beberapa penduduk berdekatan sungai di kampung tersebut menemukan beribu ikan terdampar di beting pasir dan tebing sungai berkenaan.
Seorang penduduk, Amat Ro­yut, 74, berkata, kejadian itu dipercayai berlaku malam kelmarin dan mereka hanya menye­darinya semasa hendak turun ke sungai pagi semalam. 
“Pendapatan kami yang bergantung hidup hasil tangkapan ikan sungai kini terjejas dan pencemaran ini akan mengakibatkan ikan pupus serta mengambil masa sekurang-kurangnya empat atau lima bulan untuk pulih semula,” katanya.
Sementara itu, anaknya, Azamain Amat, 37, yang juga nelayan darat kini terpaksa mencari dan membuat kerja lain bagi menampung kehidupan keluarga bagi tempoh yang agak lama sebelum dapat turun semula ke sungai untuk menangkap ikan.
Sebelum pencemaran itu berlaku, dia mampu meraih pendapatan antara RM40 dan RM60 sehari daripada hasil tangkapan ikan di sungai berkenaan.
“Kami mahu pihak berkenaan menyiasat punca pencemaran ini dan jika betul berpunca daripada kilang-kilang berkenaan, kami mahu tindakan tegas diambil atau tutup terus kilang tersebut,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Perikanan Daerah Kota Tinggi, Norazli Hairudin berkata, pihaknya telah mengambil sampel ikan yang mati bagi menyiasat punca kejadian tersebut.
“Kami akan membawa balik ikan tersebut ke makmal sebelum langkah dan tindakan seterusnya diambil,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/johor/ribuan-ikan-mati-1.518449#ixzz4qyFfJfsS
© Utusan Melayu (M) Bhd