Dianggarkan hampir satu tan metrik ikan daripada ­spesies baung, lampam dan udang galah dilaporkan musnah menyebabkan pendapatan lebih 28 nelayan Sungai Johor di Kampung Orang Asli Sayong Pinang, dekat sini terjejas.
Penduduk mendakwa, pencemaran itu berpunca daripada pe­lepasan sisa toksik dan bahan kimia daripada kilang-kilang yang beroperasi di sepanjang sungai tersebut.
Tinjauan Utusan Ma­laysia bersama beberapa penduduk berdekatan sungai di kampung tersebut menemukan beribu ikan terdampar di beting pasir dan tebing sungai berkenaan.
Seorang penduduk, Amat Ro­yut, 74, berkata, kejadian itu dipercayai berlaku malam kelmarin dan mereka hanya menye­darinya semasa hendak turun ke sungai pagi semalam. 
“Pendapatan kami yang bergantung hidup hasil tangkapan ikan sungai kini terjejas dan pencemaran ini akan mengakibatkan ikan pupus serta mengambil masa sekurang-kurangnya empat atau lima bulan untuk pulih semula,” katanya.
Sementara itu, anaknya, Azamain Amat, 37, yang juga nelayan darat kini terpaksa mencari dan membuat kerja lain bagi menampung kehidupan keluarga bagi tempoh yang agak lama sebelum dapat turun semula ke sungai untuk menangkap ikan.
Sebelum pencemaran itu berlaku, dia mampu meraih pendapatan antara RM40 dan RM60 sehari daripada hasil tangkapan ikan di sungai berkenaan.
“Kami mahu pihak berkenaan menyiasat punca pencemaran ini dan jika betul berpunca daripada kilang-kilang berkenaan, kami mahu tindakan tegas diambil atau tutup terus kilang tersebut,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Perikanan Daerah Kota Tinggi, Norazli Hairudin berkata, pihaknya telah mengambil sampel ikan yang mati bagi menyiasat punca kejadian tersebut.
“Kami akan membawa balik ikan tersebut ke makmal sebelum langkah dan tindakan seterusnya diambil,” katanya.