Source : Utusan Online
url : http://www.utusan.com.my/rencana/air-pasang-besar-akibat-pemanasan-global-1.385366
By : ABDUL RAZAK IDRIS
Keadaan air laut yang melimpah di tebing penampan di Pantai Kelanang, Selangor dalam kejadian air pasang besar, pagi kelmarin . UTUSAN
BARU-BARU ini, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan berkata, kajian saintifik antarabangsa yang dibuat oleh sekumpulan pakar mendapati sebahagian besar kepulauan Asia Pasifik termasuk Malaysia akan tenggelam menjelang 2100.
Menurut beliau, berdasarkan keadaan bentuk muka bumi yang rendah, Kedah dikenal pasti sebagai antara lokasi yang mempunyai risiko tinggi untuk tenggelam. Selain negeri di utara Semenanjung Malaysia tersebut, kebanyakan kawasan pesisiran pantai turut berdepan dengan masalah berkenaan.
Kenyataan yang dibuat beliau selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Pembangunan Hutan Mampan Mengenai Perubahan Iklim (SFDCC) anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 9 Ogos lalu sewajarnya dipandang serius dan tidak berakhir begitu sahaja tanpa sebarang solusi.
Fenomena air pasang surut yang sedang melanda beberapa kawasan pantai di Selangor kini sehingga menerjah daratan sepatutnya membuka mata kita untuk lebih pro-aktif menjaga pelepasan gas rumah hijau seperti karbon dioksida.
Mungkin pakar geologi mahupun saintis akan mengatakan apa kaitan fenomena air pasang surut dengan pemanasan global yang sebenarnya ibarat anai-anai memakan gobok kayu sedikit demi sedikit sejak revolusi perindustrian meletus pada awal kurun ke-19.
Sifir matematiknya amat mudah apabila air pasang dari laut maka ia akan melimpah ke tebing dan akan bertemu air dari sungai di muara mahupun pesisir pantai. Jika air dari pemanasan global akibat aktiviti ais yang mencair di kutub utara semakin aktif maka potensi banjir besar berlaku amat tinggi. Kejadian banjir di beberapa tempat di Jeram dan Ijok, Kuala Selangor tahun lalu membuktikan teori ini benar-benar boleh berlaku.
Jika ais masih membeku maka kadar ais yang cair tidak akan menghasilkan kuantiti air laut yang banyak dan mampu mewujudkan air pasang besar. Pada faktanya, aktiviti pelepasan gas karbon dioksida yang banyak akibat kegiatan ekonomi seperti perkilangan dan pembalakan hutan menjadi pemangkin untuk ais beku mencair dan menenggelamkan negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia.
Menurut Wan Junaidi, kajian menunjukkan peningkatan karbon dioksida (CO2) sebanyak 450 bahagian dalam setiap sejuta (ppm) sudah memadai untuk mencairkan ais di kawasan Kutub Utara. Melihat kepada keadaan sekarang, pemanasan global boleh mencecah kira-kira 560ppm menjelang tahun 2100. Keadaan ini mampu meningkatkan paras air laut kira-kira 25 meter.
Selain pembebasan CO2, kecairan ais yang berlaku, adalah berpunca daripada pemanasan global yang disebabkan oleh pembuangan sisa industri yang tidak dikawal dan pertambahan penduduk manusia. Beliau berkata, langkah terbaik untuk memperlahankan pencairan ais ialah dengan mengehadkan aktiviti yang menyebabkan pemanasan global.
Kegagalan Malaysia untuk mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Konvensyen Rangka Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Perubahan Iklim (UNFCCC) juga akan menyaksikan negara berdepan dengan masalah-masalah lain seperti kesukaran untuk meramalkan perubahan iklim termasuk peningkatan suhu, ribut taufan, hujan dan sebagainya.
Kajian-kajian berkaitan perubahan iklim serta strategik perlu dipertingkatkan lagi untuk memastikan bekalan hutan yang mampan dan fungsinya tidak terjejas agar dapat dimanfaatkan kepada generasi akan datang.
Sewajarnya kita harus menjaga dan memulihara hutan hijau sama ada hutan simpan mahupun hutan pokok bakau sepanjang pantai. Kaedah ini mampu mewujudkan keseimbangan ekologi yang mampu mengimbangi fenomena pemanasan global yang telah menjadi fokus dunia sehingga wujudnya Protokol Kyoto yang gagal mendisiplinkan negara kuasa besar untuk menjaga Bumi ini.
Perubahan cuaca dunia hari ini seolah-olah tidak dipedulikan oleh kita. Dalam kita kalut dengan agenda ekonomi dan politik akhirnya Maha Pencipta sikit demi sedikit menunjukkan kuasanya. Banjir kuning di Kelantan dan Perak awal tahun lalu amat mengejutkan, taufan di Filipina, gempa bumi melanda Sabah menunjukkan negara ini dan jiran kita berkongsi bencana alam yang sama akibat tangan-tangan kita sendiri.
Mungkin fenomena air pasang besar suatu petanda bumi ini sedang merintih kerana dunia semakin panas akibat manusia rakus dengan agenda dunia mereka hingga langsung lupa mereka berpijak di atas apa. Peliharalah bumi ini kerana kita meminjamnya dari anak kita. Jangan sampai tidak mampu ‘membayarnya’ semula.
No comments:
Post a Comment