url : http://www.utusan.com.my/rencana/alam-sekitar-berkorban-atau-terkorban-1.384592
Oleh AZRINA SOBIAN
BERSEDIAKAH kita berkorban untuk alam sekitar yang lestari? Sanggupkah kita berkorban mengubah cara hidup yang merosakkan persekitaran kepada cara hidup lestari atau berkorban masa dan tenaga untuk memperoleh alam sekitar yang sejahtera?
Manusia secara semula jadinya tidak dapat lari daripada melakukan pengorbanan dalam hidupnya. Tidak kira pengorbanan kecil atau besar. Sebagai contoh, mengorbankan masa dan tenaga untuk menjaga ibu bapa yang tidak sihat atau mengorbankan masa santai untuk bersukan dan bersenam demi kesihatan tubuh badan.
Sebagai Muslim, di dalam bulan Zulhijah yang mulia ini, kita dituntut melakukan ibadah korban. Dalam hal ini, bukanlah daging korban itu yang diperlukan oleh Allah SWT tetapi tanda keimanan seorang hamba-Nya yang sanggup melepaskan sesuatu (wang ringgit misalnya) untuk melaksanakan tuntutan Maha Pencipta. Ibadah korban ini juga satu tanda kesyukuran atas segala nikmat yang telah dikurniakan Allah SWT kepada manusia.
Berkaitan dengan alam sekitar yang lestari pula, kita semua mendambakan hidup di dalam alam yang bersih dan suci. Alangkah indahnya, jika kita dapat menghirup udara segar tanpa apa-apa pencemaran. Alangkah baiknya, jika kita dapat makan makanan yang terhasil daripada tanaman bebas racun perosak. Kini, semua itu agak sukar diperoleh kerana udara yang kita hirup setiap hari telah dipenuhi pelbagai bahan pencemar. Malah, masalah degradasi tanah dan kekurangan tanah pertanian akibat pembangunan pesat menuntut kebanyakan tapak pertanian menggunakan baja kimia dalam proses pengeluaran hasil pertanian.
Dambaan kita untuk memperoleh alam sekitar yang bersih dan sihat tidak boleh hanya sekadar dambaan. Kita harus berusaha mendapatkannya. Kita harus berkorban sesuatu untuk memperolehnya. Seperti yang disebutkan awal tadi, pengorbanan yang dimaksudkan berkait dengan kesungguhan kita untuk mengubah cara hidup supaya lebih mesra alam.
Cara hidup zaman ini kebanyakannya tidak menggambarkan cara hidup yang lestari. Sebagai contoh, kita menghasilkan terlalu banyak sampah. Ini adalah satu gambaran gaya hidup yang bergantung kepada penggunaan yang tinggi dan juga membazir. Masyarakat zaman ini adalah masyarakat pengguna yang suka membeli mengikut kehendak dan bukannya keperluan. Cuba lihat di dapur rumah masing-masing. Berapa banyakkah sisa makanan yang terbuang setiap hari? Berapa banyak pula sampah plastik atau kertas yang terhasil setiap hari? Banyak bukan? Ini adalah tanda penggunaan yang tinggi dan apabila tinggi penggunaan maka lebih banyaklah sisa yang terhasil. Malah ini juga dinamakan sebagai satu pembaziran dan takutlah kita kerana pembaziran ini amalan syaitan.
Oleh itu, kita harus bersungguh-sungguh mengubah cara hidup agar lebih lestari atau mesra alam. Hakikatnya, kalau kita masih enggan berkorban mengubah cara hidup maka akhirnya kita juga yang akan terkorban. Sudah banyak peristiwa alam yang berlaku sehingga mengorbankan banyak nyawa. Sebagai contoh, kegiatan penebangan hutan untuk pertanian sehingga menyebabkan berlaku kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands. Sekitar Disember 1994, tujuh nyawa terkorban. Pada tahun berikutnya iaitu pada Jun 1995, berlaku sekali lagi tanah runtuh yang mengorbankan 20 nyawa serta mencederakan 22 orang yang lain. Tidak cukup dengan itu, tahun seterusnya, iaitu pada Julai 1996, tanah runtuh di Kilometer 15, Genting Highlands, telah menyebabkan sebuah bas terbabas lalu mengorbankan 17 nyawa.
Selain tanah runtuh, kegagalan kita menguruskan kebersihan turut mengundang padah. Masalah pembiakan nyamuk aedes sehingga meningkatnya kes demam denggi menjadi masalah yang tidak pernah selesai. Sumber daripada Bilik Gerakan Denggi Kebangsaan CPRC, Kementerian Kesihatan menunjukkan dari 3 Januari 2016 sehingga 12 September 2016, terdapat 78,460 kes demam denggi dilaporkan yang melibatkan 172 kematian.
Belum pun kita dapat menyelesaikan masalah aedes dan demam denggi, kini muncul pula masalah virus zika. Virus zika ini turut dibawa oleh nyamuk aedes. Masalah ini bukanlah terletak kepada nyamuk tersebut tetapi adalah satu gambaran betapa kita telah mengabaikan aspek kebersihan dalam hidup. Alam sekitar yang kotor dan tidak diurus dengan baik menjadi tempat pembiakan nyamuk tersebut. Sikap pengotor kitalah yang mengundang pelbagai penyakit dan akhirnya, ada nyawa yang terkorban.
Bagi umat Islam, kita seharusnya berasa malu kerana tidak mampu mengekalkan persekitaran yang bersih kerana keadaan ini bertentangan dengan tuntutan cara hidup Islami.
Dengan itu, wajarlah kita berusaha keras untuk mengorbankan cara hidup tidak sihat kini kepada yang lebih baik, agar bukan sahaja bermanfaat kepada manusia tetapi kepada alam keseluruhannya. Jika kita enggan melakukan pengorbanan tersebut, maka bersedialah untuk melihat lebih banyak nyawa terkorban kerana alam semakin tenat. Dalam banyak keadaan, kita berasa selesa kerana masalah alam ini tidak secara langsung berkaitan dengan diri atau ahli keluarga kita. Namun, perlukah kita menunggu sehingga diri mahupun ahli keluarga sendiri terkorban akibat alam yang semakin tercemar?
Oleh itu, jangan tunggu sehingga sudah terlambat. Anggap sahaja pengorbanan yang kita lakukan sekarang sebagai satu kiasan kasih sayang bukan sahaja kepada alam tetapi juga kepada seluruh manusia di dunia ini. Malah, lebih tinggi lagi, usaha itu adalah satu gambaran kasih sayang dan ketaatan kita kepada Allah SWT.
PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, IKIM
No comments:
Post a Comment