Sebagai sebuah syarikat pengendali sisa berbahaya dan tidak berbahaya yang berpengalaman selama 55 tahun, Shan Poornam Metals telah dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar sebagai ‘kemudahan pemerolehan kembali penuh bahan buangan terjadual’.

Shan Poornam Metals yang terletak di Pulau Pinang juga mendapat lesen daripada Majlis Perbandaran Pulau Pinang bagi membeli dan mengeluarkan barangan terpakai dari Zon Perdagangan Bebas.

Syarikat itu turut memperoleh lesen daripada Majlis Perbandaran Seberang Perai dalam mengitar semula barangan lusuh dan mengurus bahan bertoksik serta tidak bertoksik, selain lesen daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk berniaga barangan lusuh.
Memperkuatkan lagi portfolionya, Shan Poornam sehingga kini telah dianugerahkan sijil ISO 14001:2004, OHSAS 18001:2007 dan ISO 9001:2008 daripada Afnor Certification yang berpangkalan di United Kingdom.

Antara produk yang dihasilkan syarikat itu daripada sisa-sisa isi rumah dan industri ialah jongkong emas, jongkong perak, jongkong tembaga, jongkong platinum dan jongkong aluminium.

Pengarah Urusan Shan Poornam Metals, S. Selvakumar berkata, pihaknya memproses kira-kira 5,000 tan sisa elektrik dan elektronik atau e-sisa dalam sebulan yang mampu menghasilkan antaranya 35 kilogram emas, 50 kilogram perak dan 15 kilogram platinum.
Beliau berkata, kesemua bahan berharga yang dihasilkan itu buat masa ini dijual di pasaran tempatan, Jepun dan Jerman.

Namun, pihaknya bercadang untuk meluaskan pasaran ke China dan Korea Selatan pada masa hadapan.

“Buat masa ini, jumlah telefon bimbit terbuang atau e-sisa mudah alih yang dibawa dan diproses di kilang kami masih dalam kadar rendah berbanding perkakas elektrik dan elektronik lain.

“Sebenarnya, kesedaran bagi mengitar semula e-sisa mudah alih sangat penting kerana selain mengelakkan bahan bertoksik yang terkandung di dalamnya mencemari alam sekitar, ia juga mampu menjana pendapatan pemain industri seperti kami serta membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi taklimat mengenai proses kitar semula yang dilakukan Shan Poornam Metals kepada wakil MCMC, rakan strategik dan pihak media di premisnya, baru-baru ini.

Dalam sesi pertemuan itu, para tetamu diberi peluang melawat Shan Poornam Metals dan menyaksikan sendiri mesin-mesin yang dimiliki kilang itu bagi melakukan kerja-kerja kitar semula dengan mengamalkan konsep hijau.

Bagi memudahkan lagi proses mengitar semula e-sisa, Shan Poornam Metals baru-baru ini membeli mesin khas buatan syarikat dari Jerman, Andritz MeWa GmBH sebagai aset tambahan yang dijangka tiba di negara ini pada pertengahan tahun depan.

Mesin berteknologi tinggi yang menggunakan sistem kawalan berkomputer itu dilihat mampu meningkatkan kerja-kerja memproses dan merawat e-sisa serta klorofluorokarbon (CFC).
Mesin itu bukan sahaja dapat mengekstrak logam-logam berharga daripada e-sisa, malah dapat melupuskan dengan sempurna bahan-bahan lain yang tidak diperlukan.

Selain mengambil inisiatif membuat pelaburan tinggi bagi memiliki sistem pengurusan e-sisa berteknologi tinggi itu, komitmen Shan Poornam Metals dalam meningkatkan kelestarian alam turut dapat dilihat dalam inisiatifnya menyediakan 86 buah pusat pengumpulan e-sisa di seluruh negara.

Usaha syarikat itu dalam menguruskan e-sisa selama ini telah mendapat pelbagai pengiktirafan daripada kerajaan seperti Anugerah Produk Cemerlang 2010 yang diberikan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan In-dustri serta Anugerah Bunga Raya Perdana Menteri 2010/2011 (Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar).

Shan Poornam Metals turut diiktiraf oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dengan dianugerahkan Anugerah Emas Pembuatan Teknologi Hijau 2012 dan Anugerah Kepimpinan Tanggungjawab Sosial Korporat 2012 oleh Pertubuhan Usahawan Generasi Muda Berjaya (GMB) Malaysia.

Selain turut menerima Anugerah Kepimpinan Global 2013 daripada majalah The Leaders International, Shan Poornam Metals juga mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila dikurniakan Anugerah Kepimpinan Teknologi dan Tenaga Boleh Diperbaharui 2013 oleh Persekutuan Kerjasama Dewan Perniagaan dan Industri Negara-negara Teluk (FGCCC).