url : http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/kempen-selamatkan-penyu-melaka-hari-ini-1.379821
Jeffri Munir (tengah) mengadakan sidang akhbar berhubung penganjuran kempen Program Kesedaran Konservasi Penyu Melaka di Philea Resort and Spa di Melaka, semalam. Turut kelihatan, Pengurus Besar resort, Lim Beng Weh (kanan) dan Penolong Pengurus Eksekutif resort itu, Connie Chin (kiri).
MELAKA 7 Sept. – Sebanyak 1,000 ekor anak penyu karah akan dilepaskan sempena kempen Program Kesedaran Konservasi Penyu Melaka yang akan diadakan di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu di Padang Kemunting Masjid Tanah dekat sini esok.
Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan negeri, Jeffri Munir berkata, program tersebut merupakan anjuran bersama agensi swasta iaitu Philea Resort and Spa dengan agensi-agensi di bawah kerajaan negeri.
Menurutnya ini termasuk Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Jabatan Perikanan Melaka, Majlis Perbandaran Alor Gajah dan Kolej Universiti Islam Melaka bagi memastikan habitat spesies itu terpelihara.
Beliau berkata, pada majlis itu kesemua 1,000 anak penyu yang dikumpul dari penetasan dan pengumpulan telur penyu karah yang mendarat di pantai Padang Kemunting akan dilepaskan ke laut untuk tujuan memastikan anak penyu itu dapat kembali sebagai penyu dewasa dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.
"Masalah yang berlaku ketika ini adalah kehidupan empat spesies penyu yang terdapat di negara ini iaitu penyu belimbing, penyu karah, penyu agar dan penyu lipas termasuk jenis penyu karah yang terdapat di Melaka kian pupus.
"Kempen yang diadakan ini diharap menyedarkan masayarakat setempat serta penduduk negeri dan pengunjung betapa pentingnya memulihara habitat mereka agar tidak tercemar," katanya dalam sidang akhbar sempena penganjuran kempen tersebut di Philea Resort and Spa, Ayer Keroh di sini.
Yang turut hadir, Pengurus Besar resort, Lim Beng Weh dan Penolong Pengurus Eksekutif resort itu, Connie Chin.
Program yang bermula pukul 6 petang itu dijangka dihadiri oleh Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Menurut Jeffri, mengikut perangkaan daripada 1,000 anak penyu yang dilepaskan ke laut itu, hanya seekor daripadanya mampu bertahan dan terus hidup.
Katanya, ini kerana pelbagai ancaman terhadap spesies itu termasuk disebabkan pencemaran angkara manusia dan alam sekitar.
“Dianggarkan antara 400 hingga 450 ekor penyu karah dilaporkan mendarat di sekitar pesisiran pantai negeri ini pada tahun lalu dengan anggaran 50,000 biji telur dihasilkan,” katanya.
No comments:
Post a Comment