Dua kes tumpahan merkuri telah dilaporkan beberapa minggu lalu. Satu tumpahan berlaku di Klinik Kesihatan Merchang dan kejadian lain dilaporkan berlaku di Klinik Desa Rusila, kedua-duanya di Terengganu.

Walau bagaimanapun, mungkin terdapat lebih banyak kes tumpahan dalam pusat kesihatan, sekolah dan rumah yang tidak dilaporkan.

Pekerja di sektor kesihatan boleh terdedah kepada merkuri akibat termometer pecah dan juga sphygmomanometer (alat memeriksa tekanan darah) yang tidak diselenggara dengan baik.

Selain itu, doktor gigi dan anggota pergigian yang bekerja dengan amalgam gigi mengandungi merkuri juga terdedah kepada wap merkuri.

Pelupusan yang tidak sempurna amalgam tersebut turut menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.

Memandangkan masalah kesihatan umum yang signifikan, beban penyakit khususnya dalam kalangan pekerja kesihatan dan pencemaran alam sekitar di peringkat global, Konvensyen Minamata mengenai Merkuri telah diterima pada tahun 2013 dan ditandatangani Malaysia pada 24 September 2014.

Dalam sektor kesihatan, Konvensyen Minamata menetapkan tarikh fasa keluar iaitu tahun 2020 bagi kebanyakan produk yang mengandungi merkuri termasuk termometer dan sphygmomanometer merkuri di samping fasa keluar penggunaan amalgam gigi mengandungi merkuri.

Ketua Pengarah Kesihatan dalam surat bertarikh 3 Jun 2013 kepada Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah menyatakan bahawa pada dasarnya Kementerian Kesihatan menyokong kawalan dan program fasa keluar produk mengandungi merkuri seperti yang dinyatakan dalam Konvensyen Minamata.

Kami sukacita dengan komitmen kerajaan menggalakkan penggunaan bahan bebas merkuri dalam sektor kesihatan tetapi berpendapat tindakan yang diambil perlu ditingkatkan agar kita mencapai matlamat ini dengan lebih cepat.

Dari segi penggunaan amalgam gigi tersebut, pelbagai langkah telah dicadangkan dalam Konvensyen Minamata.

Selain mengehadkan penggunaan amalgam gigi kepada bentuk encapsulated (terkandung), kerajaan perlu meningkatkan penggunaan alternatif bebas merkuri yang berkesan dari segi kos dan klinikal untuk rawatan pergigian.

Sektor kesihatan mempunyai peranan penting untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan penggunaan merkuri ke arah matlamat penjagaan kesihatan yang bebas merkuri.

Kami menggesa kerajaan Malaysia untuk mempercepatkan langkah-langkah dan strategi untuk menangani isu pencemaran merkuri dan rancangan pelaksanaan ketetapan Konvensyen Merkuri Minamata.

S.M. MOHAMED IDRIS
Presiden
Persatuan Pengguna 
Pulau Pinang (CAP)