Statistik daripada SIRIM QAS International Sdn. Bhd. (SIRIM QAS) menunjukkan sebanyak 65.7 juta unit telefon bimbit telah didaftarkan di negara ini antara tahun 2009 dan 2014.

Jumlah itu jika diambil kira pada waktu ini, boleh dianggap sebagai telefon bimbit yang tidak lagi digunakan atau dalam istilah ringkasnya, e-sisa mudah alih.

Hal demikian kerana menurut kajian Agensi Perlindungan Alam Amerika Syarikat, jangka hayat bagi seunit telefon bimbit adalah antara 18 dan 24 bulan.

Bagaimanapun angka sebenar sisa peranti mudah alih itu mungkin jauh lebih besar, jika mengambil kira bilangan telefon bimbit yang dibawa masuk ke negara ini tanpa rekod sah.
Bayangkan apa akan terjadi kepada telefon bimbit sebanyak itu jika tidak dilupuskan dengan sempurna. Apakah kesannya kepada alam sekitar dan kesihatan manusia?

Telefon bimbit diperbuat daripada bahan yang tidak boleh terurai secara semula jadi. Mungkin kebanyakan masyarakat mengetahui perkara ini.

Namun ramai yang tidak menyedari bahawa komponen elektronik di dalam peranti mudah alih tersebut mengandungi bahan pencemar seperti plumbum, kadmium dan merkuri.

Kadmium misalnya, boleh mengakibatkan penyakit paru-paru, kerosakan buah pinggang dan penyakit tulang manakala merkuri mampu merosakkan kulit serta menyebabkan kemerosotan ingatan.

Semakin banyak telefon bimbit dilonggokkan di tapak pelupusan sampah (tidak diuruskan dengan sempurna), semakin banyak bahan bertoksik terlepas ke alam sekitar terutama air bawah tanah yang kemudiannya boleh menjejaskan kesihatan penduduk setempat.

Sehubungan itu, Malaysia kini dalam perancangan untuk memperkenalkan program Kewajipan Lanjutan Pengeluar (EPR) atau sistem pengurusan produk dan sisa bagi menangani isu e-sisa mudah alih.

Melalui EPR, pengeluar bertanggungjawab bagi pengurusan produk (mengumpul, kitar semula dan pelupusan akhir) yang mesra alam apabila produk tersebut tidak lagi berfungsi atau dibuang.

Dalam usaha melengkapkan inisiatif EPR di Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada tahun lalu telah melancarkan program E-Sisa Mudah Alih: Telefon Lama, Kehidupan Baharu.

Selain telefon bimbit, e-sisa mudah alih juga merujuk kepada peranti mudah alih seperti telefon pintar, tablet, phablet, pengecas, cakera keras, pemain MP3 dan power bank.
Selain ingin mendidik masyarakat mengenai pelupusan e-sisa mudah alih secara selamat, program kitar semula peranti mudah alih terpakai itu juga bertujuan untuk menggalakkan budaya 3R iaitu kurangkan (reduce), guna semula (reuse) dan kitar semula (recycling).

Inisiatif yang diwujudkan MCMC itu juga sebagai sokongan terhadap Resolution 79 yang dipersetujui dalam World Telecommunication Standardization Assembly (WTSA) pada bulan November 2012 bagi menggalakkan semua negara anggota mengambil langkah mengendali dan mengawal e-sisa untuk mengurangkan bahaya akibat peranti telekomunikasi terpakai.

Mengulas lanjut mengenai program itu, Ketua Jabatan Pembangunan Teknologi, Bahagian Teknologi dan Masyarakat MCMC, Badaruzzaman Mat Nor berkata, lebih 90 peratus daripada bahan yang digunakan dalam peranti mudah alih dan aksesori boleh dipulihkan semula.

Malah, jelas beliau, melalui program kitar semula itu, pelbagai logam berharga seperti aluminium, emas dan tembaga dapat diekstrak daripada e-sisa mudah alih.

“Jumlah logam yang diekstrak daripada e-sisa adalah 40 hingga 50 kali ganda berbanding bijih yang diekstrak daripada lombong.

“Sebagai contoh, satu tan bijih emas menghasilkan kira-kira lima gram emas, manakala satu tan papan litar telefon bimbit boleh menghasilkan kira-kira 150 gram emas atau 30 kali ganda banyaknya,” katanya.
Kesemua bahan kitar semula itu kemudiannya akan diproses dan dijual sama ada untuk pasaran tempatan mahu pun dieksport ke pasaran asing.

Antara produk yang boleh dihasilkan daripada bahan terpulih itu ialah keluli tahan karat, bateri, palet plastik dan jongkong emas.

Walau bagaimanapun, jelas Badaruzzaman, proses pemulihan tidak boleh dibuat sebarangan sebaliknya perlu dilakukan di fasiliti yang diperakui mengikut piawaian.

Beliau berkata, buat sementara ini, kesemua e-sisa mudah alih yang terkumpul akan melalui proses kitar semula dengan syarikat pengendali sisa berbahaya dan tidak berbahaya, Shan Poornam Metals Sdn. Bhd.

Syarikat itu yang terletak di Perai, Pulau Pinang diiktiraf kerana berkemampuan menyediakan kemudahan pemerolehan kembali penuh yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar.

Bagi memudahkan pengumpulan e-sisa mudah alih, MCMC dengan kerjasama syarikat-syarikat telekomunikasi menyediakan kotak pengumpulan di 74 buah kedai telekomunikasi di seluruh negara selain turut ditempatkan di Pusat Internet 1Malaysia (PI1M).

Malah terdapat syarikat-syarikat telekomunikasi yang mengambil inisiatif dengan memberikan insentif kepada orang ramai jika mereka membawa telefon bimbit yang tidak lagi digunakan ke pusat pengumpulan seperti baucar membeli-belah, cenderahati korporat syarikat masing-masing dan sebagainya.

MCMC dan pihak-pihak berkepentingan yang mengambil bahagian komited untuk memastikan e-sisa mudah alih tidak berakhir di tapak pelupusan dan akan meningkatkan lagi bilangan pusat pengumpulan serta program kesedaran dari masa ke masa.

Melalui kitar semula e-sisa mudah alih, pencemaran bukan sahaja dapat dicegah, malah alam semula jadi dapat dipulihara kerana bahan galian yang digunakan tidak perlu lagi dilombong sebaliknya mengguna semula bahan yang telah dipulih.