url : http://www.utusan.com.my/rencana/kaitan-sampah-dan-penyakit-1.379449
By : MOHD. HASNI JAAFAR
TIMBUNAN sampah yang tidak dikutip secara berkala akan menjadi tempat paling sesuai untuk vektor mencari makanan, tempat perlindungan serta pembiakan seperti nyamuk aedes dan tikus
SEHINGGA hari ini, ramai di antara kita yang masih memandang ringan akan isu sampah sarap di negara ini. Walaupun dengan pelbagai kempen kesedaran yang dijalankan oleh kerajaan, namun lambakan sampah masih menjadi salah satu masalah kesihatan awam di Malaysia. Dan dengan hadirnya satu kes positif virus zika, isu sampah sarap kini menjadi lebih memuncak ibarat bom jangka yang meletuskan wabak pada bila-bila masa. Malahan ia boleh mengatasi penularan kes demam denggi yang sedia ada.
Penduduk negara ini menghasilkan sampah sarap domestik antara satu hingga dua kilogram sehari bergantung kepada jumlah isi rumah dan perayaan yang berlangsung. Dari satu kilogram tersebut, hampir 400 gram adalah sisa makanan. Dalam satu taman perumahan, secara puratanya terdapat lebih kurang 500 rumah yang boleh menghasilkan sehingga satu tan sampah sehari. Ini adalah bersamaan hampir kepada 20 kilogram sisa makanan pada setiap hari.
Dengan jadual kutipan yang dijalankan pada setiap selang hari, maka ada ketikanya hampir dua tan sampah sarap tidak dikutip dan menjadi tempat paling sesuai untuk vektor mencari makanan dan tempat untuk pembiakan. Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2014 mencatatkan peratusan liputan pengutipan sampah sarap negara adalah hanya 58 peratus dan 18 peratus untuk kawasan bandar dan luar bandar.
Kawasan yang tidak mempunyai sistem kutipan sampah yang berkesan terutamanya di kawasan yang padat penduduk menjadi isu utama kepada penyakit. Ini kerana terdapatnya berjenis vektor atau agen penyakit yang berkait rapat dengan pengendalian sampah yang tidak sempurna dengan pelbagai penyakit berjangkit dan tidak berjangkit dalam kalangan manusia mahupun haiwan.
Vektor bagi penyakit berjangkit adalah terdiri dari serangga dan haiwan kecil. Di negara ini, nyamuk adalah vektor penyakit yang paling utama. Nyamuk aedes menyebabkan penularan penyakit demam denggi dan demam denggi berdarah. Dan kini, melalui vektor yang sama, virus zika juga boleh merebak. Pesakit demam denggi agak mudah untuk diketahui, namun bagi pesakit zika, agak sukar kerana pesakit mungkin tiada tanda-tanda biasa untuk beberapa ketika sebelum menunjukkan tanda tipikal.
Zika menyebabkan kelahiran generasi yang mengalami masalah otak. Kanak-kanak terbabit mempunyai tahap kecerdikan hampir kosong, perlukan bantuan sokongan seumur hidup dan mungkin meninggal di usia muda. Ini adalah alasan yang hampir sama mengapa petrol sejak awal 90-an telah dipastikan mempunyai paras plumbum yang rendah, hampir di seluruh dunia. Plumbum menyebabkan masalah otak dan tingkah laku pada mereka yang terdedah kepadanya.
Vektor kedua seperti tikus adalah pembawa bakteria untuk penyakit leptospirosis yang menjadi penyakit kedua utama akibat sampah sarap yang terbiar. Jika dilihat dari statistik, hampir kebanyakan kes leptospirosis di negara ini berlaku di kawasan bandar. Kes berpunca dari pasar basah yang tidak bersih dipenuhi dengan sisa ayam dan ikan, perparitan yang kotor dan tersumbat, serta kawasan sampah sarap yang tidak terurus.
Terdapat juga penyebab kepada penyakit tidak berjangkit yang mungkin boleh dikaitkan dengan pendedahan kepada sampah sarap seperti bekas racun serangga, tong pelarut dan sisa cat rumah, logam berat dari bateri murahan, bekas gam industri dan sebagainya yang masih tidak mendapat perhatian dan kajian menyeluruh sehingga kini.
Mengapa sampah negara ini sukar diatasi? Pertamanya kerana kandungan sampah sarap rumah yang basah dan bercampur aduk di peringkat dapur lagi. Hampir 40 peratus hingga 60 peratus kandungan sampah dapur adalah sisa makanan, dan tulang, kulit serta lemak makanan mentah. Kerajaan seharusnya membuat suatu ketetapan untuk semua rumah menggunakan sistem penghancur di bawah sinki dapur. Ini dapat mengurangkan sehingga 40 peratus sisa dapur dan menjadikan sampah rumah yang lebih kering dan mudah diuruskan bagi peringkat pengasingan.
Keduanya kerana liputan kutipan sampah sarap yang kurang menyeluruh dan tidak berkesan. Jadual kutipan seharusnya disesuaikan dengan jumlah penduduk dan hari perayaan yang berlangsung. Kutipan seharusnya menyeluruh dan tiada alasan untuk tidak mencapainya.
Ketiganya, tiada sistem yang digunakan untuk mengasingkan jenis-jenis sampah rumah. Tidak seperti di hospital yang mempunyai sistem kod warna untuk pelbagai jenis sisa klinikal. Atau setidaknya seperti Jepun yang mengamalkan sistem kod warna untuk sampah rumah yang perlu diletakkan di dalam bekas sampah di kawasan perumahan mengikut hari kutipan yang dibuat setiap hari.
Keempat adalah kembali kepada sikap dan amalan penduduk di negara ini. Semua harus mengikuti segala arahan pengasingan sampah yang dilaksanakan di beberapa negeri. Sistem kutipan sampah di pasar-pasar malam perlu diperbaiki dan diselaraskan. Pasar raya perlu mempunyai sistem kutipan sampah harian terutamanya pada sebelah petang agar tiada sisa makanan terbiar di malam hari dan mengundang segala jenis vektor penyakit.
Masalah sampah sarap kini adalah isu kesihatan awam di negara ini. Tanggungjawab adalah dikongsi oleh semua penduduk dengan pihak berkuasa. Kurangkan penghasilan sampah sarap dan amalkan kitar semula. Sampah sarap menunjukkan tahap membeli penduduk Malaysia yang masih tinggi, tetapi ia juga menunjukkan tahap sanitasi yang meruncing dan kritikal yang perlu diatasi segera oleh semua.
PROF. MADYA DR. MOHD. HASNI JAAFAR ialah Pakar Kesihatan Persekitaran dan Toksilogi, PPUKM.
No comments:
Post a Comment