Friday, January 24, 2014

Sisa buangan terjadual dijadikan produk baharu

Source : Utusan Online, 24/1/14

KUALA LUMPUR 23 Jan. - Seiring dengan perkembangan teknologi, banyak sisa buangan terjadual dapat dimanfaat dan digunakan semula oleh pelbagai jenis industri di negara ini untuk dijadikan produk baharu.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Halimah Hassan berkata, sehingga tahun lalu, sebanyak 357 kemudahan dilesenkan oleh JAS untuk menjalankan proses penghasilan produk baharu daripada sisa-sisa buangan.

"Sehingga 2012, sebanyak 600,672.22 tan metrik sisa buangan terjadual telah diproses dan diguna semula. Di samping itu, 1.145 juta tan metrik sisa buangan diuruskan dan diproses secara khas untuk digunakan secara terus.

"Salah satu material yang berpotensi dijadikan produk baharu ialah seperti aluminium yang boleh dikitar semula dan dibentuk menjadi tin dan peralatan asas dalam industri automotif," katanya selepas merasmikan Seminar Pengurusan Khas Buangan Terjadual, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAS, Dr. Zulkifli Abd. Rahman dan Pengarah, Bahagian Bahan Berbahaya JAS, Datin Che Asmah Ibrahim.

Halimah berkata, seminar yang pertama kali dianjurkan itu bertujuan memberi pendedahan dan penjelasan tentang hala tuju pengurusan sisa buangan terjadual di negara ini.

"Seminar ini boleh dijadikan platform kepada pihak industri untuk berkomunikasi dengan pihak universiti atau agensi-agensi yang menjalankan kajian bagi menghasilkan produk baharu daripada sisa-sisa buangan itu.

"Alhamdulillah, seramai 280 wakil industri dan pegawai kerajaan hadir menyertai seminar kali ini. Ini menunjukkan maklum balas yang baik daripada pemain industri di negara kita," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140124/dn_24/Sisa-buangan-terjadual-dijadikan-produk-baharu#ixzz2tUBBYSKQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: