Saturday, September 5, 2015

Kad tebus nilai ganjaran jayakan pengasingan sisa pepejal

Source : Berita Harian Online 


KAKITANGAN SWCorp Perlis dan syarikat E-Idaman menunjukkan pengasingan sisa pepejal ke dalam bekas mengikut jenis. - Foto Hafizudin Mohd Safar


Syarikat Environment Idaman Sdn Bhd (E-Idaman) yang mengendalikan pengurusan sisa pepejal di Kedah dan Perlis, memperkenalkan satu cara bagi menggalak dan meningkatkan penyertaan awam dalam membantu mengurangkan sampah di tapak pelupusan sampah. Mengambil inisiatif mewujudkan program Recycling For Life, ia sebagai usaha menyokong hasrat kerajaan melaksanakan pengasingan sisa pepejal, sekali gus meningkatkan aktiviti 3R (guna semula, kurangkan, kitar semula). Galak orang ramai guna sistem Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman, Mohd Saiful Anuar Zainal, berkata isu sampah adalah perkara remeh di mana banyak pihak tidak mengambil berat. Oleh itu, syarikat perlu berfikir di luar kotak untuk menghasilkan cara bagi menggalakkan orang ramai turut serta. 

Menerusi Program Recycling For Life, E-Idaman akan bekerjasama dengan pertubuhan bukan berorientasikan keuntungan, Yayasan MyKasih yang ditubuhkan pada 2010 untuk membantu rakyat Malaysia kurang bernasib baik menggunakan sistem pembayaran tanpa tunai dipanggil 'Sistem ePetrol'. Mohd Saiful Anuar berkata, melalui kerjasama ini, satu kad E-Idaman MyKasih akan diberi kepada penduduk yang mengitar semula barangan dan mereka akan diberi pilihan untuk menebus nilai yang akan diisi di dalam kad sama ada untuk diri sendiri, komuniti atau menderma. 

"Apabila mereka membuat pengasingan sisa pepejal dan mengikut berat barangan, kita akan beri ganjaran berbentuk kad yang akan diisi dengan sejumlah wang dan wang itu boleh digunakan untuk membeli barangan di rangkaian kedai Yayasan MyKasih. "Pilihan kedua, mereka boleh membuat pilihan untuk memasukkan wang ke dalam komuniti tempat tinggal mereka dan digunakan bagi menjalankan sebarang aktiviti. Pilihan ketiga adalah menderma ganjaran yang diterima kepada Yayasan MyKasih sebelum disalurkan kepada keluarga miskin di Kedah dan Perlis dan dianggarkan setiap keluarga akan mendapat RM80 sebulan," katanya kepada BERNAMA. Melalui program itu banyak keluarga miskin dapat dibantu dan pelaksanaan penggunaan kad akan diuji pada Oktober dan November ini. 

Jika berkesan, ia akan dilaksanakan secara menyeluruh mulai Januari 2016. Pelaksanaan pengasingan sisa pepejal secara mandatori kepada isi rumah akan turut membantu mengurangkan kos untuk menguruskan sisa pepejal di tapak pelupusan sampah sebanyak 35 peratus. Mohd Saiful Anuar berkata, kira-kira RM50,000 sebulan dibelanjakan bagi setiap pengurusan sebuah tapak pelupusan. Pengasingan sampah itu memudahkan pihak E-Idaman menjalankan aktiviti pemungutan yang dilakukan seminggu sekali untuk sampah (yang diasingkan) termasuk sisa pukal (sisa perabot dan kebun). 

Pengasingan ikut komposisi sisa Secara umumnya, proses pengasingan sisa di punca membabitkan pengasingan sisa pepejal isi rumah mengikut komposisi sisa iaitu plastik, kertas, kadbod, kaca, logam, sisa makanan, sisa pukal dan sisa kebun. Beliau percaya penduduk di kedua-dua negeri itu sedar kelebihan membuat pengasingan sampah hasil daripada aktiviti penerangan yang dijalankan oleh E-Idaman bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp). 

Bagi memudahkan pelaksanaan program pengasingan sisa pepejal ini, E-Idaman memperuntukkan sebanyak 2,000 tong kitar semula bersaiz satu meter padu untuk diletakkan di setiap jalan masuk utama kawasan perumahan di Kedah dan Perlis. Tong kitar setiap taman perumahan "Ini juga adalah inisiatif yang diambil E-Idaman, yang akan meletakkan tong kitar semula di setiap pintu masuk taman perumahan. Jika masyarakat tidak mahu membuat pengasingan di rumah sendiri, mereka boleh membuang sampah mengikut tong yang telah disediakan. "Setakat ini, kita telah menyediakan beberapa tong kitar semula terutama di kawasan perumahan, rumah pangsa dan kita menjangkakan semua 2,000 tong kitar semula ini akan selesai diagihkan menjelang akhir tahun ini," katanya.

 Katanya, E-Idaman juga menggerakkan 'Skuad Idaman' dalam usaha untuk menguar-uarkan dan memberi penerangan kepada masyarakat yang masih belum mengetahui serta memahami mengenai sistem itu. "Walaupun promosi telah dijalankan, masih ramai yang tidak sedar kepentingan pelaksanaan sistem ini kerana berasakan isu sampah tidak penting. Sebanyak 300,000 risalah akan diedar di Kedah dan Perlis dalam tempoh dua minggu dan diharap ia dapat menarik masyarakat untuk bekerjasama dengan E-Idaman," katanya. BERNAMA

http://www.bharian.com.my/node/79650

Wednesday, September 2, 2015

Guru, ibu bapa boleh jayakan sistem pengasingan sisa pepejal


Source : Berita Harian Online 






GURU boleh mendidik pelajar cara mengasingkan sampah ikut kategori bagi mengurangkan kos selenggara di pusat pelupusan.



Guru, ibu bapa boleh jayakan sistem pengasingan sisa pepejal Oleh Ab Rahim Md Noor GURU boleh mendidik pelajar cara mengasingkan sampah ikut kategori bagi mengurangkan kos selenggara di pusat pelupusan. -

Gambar hiasan Pemeliharaan alam sekitar adalah elemen penting untuk memastikan kesinambungan kehidupan manusia di dunia ini. Antara faktor kesejahteraan hidup manusia adalah akibat daripada hubungan harmoni antara manusia dan alam persekitarannya. Tanggungjawab memelihara alam sekitar diberikan kepada manusia kerana kita dilantik sebagai khalifah di bumi dan dituntut memelihara alam sekitar serta pelbagai sumber yang disediakan dari Pencipta untuk kelangsungan kehidupan. 

Oleh itu, manusia ada peranan sebagai pembina, pengindah dan penyelamat alam sekitar dan bukannya melakukan kemudaratan, kerosakan dan kemusnahan tanpa rasa tanggungjawab. Jika setiap individu mempunyai rasa kebertanggungjawaban begini, masyarakat di negara ini secara keseluruhannya dapat menghayati budaya menyumbang untuk kepentingan bersama dan memiliki kekayaan moraliti setaraf masyarakat minda kelas pertama. Dengan sikap, kesedaran dan rasa tanggungjawab ini, usaha kerajaan dalam pembentukan minda dan budaya bangsa agar masyarakat menghargai, bertanggungjawab serta membabitkan diri dalam penjagaan kebersihan dan kesejahteraan persekitaran jadi lebih mudah dan berkesan. 

Banyak usaha dilaksanakan kerajaan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan amalan membudayakan kebersihan khususnya 3R (reduce, reuse, recycle) ke arah kelestarian alam sekitar dan seterusnya meningkatkan kadar kitar semula negara yang masih rendah hari ini. Ini berdasarkan kadar nasional bagi tahun 2013 iaitu 12.8 peratus saja berbanding negara maju yang mencatat kadar kitar semula melebihi 40 peratus sejak tahun 2010 lagi seperti Jerman (62 peratus), Switzerland (51 peratus), Sweden (49 peratus) dan Denmark (42 peratus). 

Tingkat pemanasan global Pengurusan sisa pepejal yang lebih efektif boleh menyumbang kepada pengurangan impak negatif kepada alam sekitar dan kesihatan manusia. Jika sisa pepejal tidak dilupuskan dengan sempurna, ia meningkatkan pemanasan global disebabkan oleh pelepasan gas rumah hijau berbahaya di udara, pencemaran air bawah tanah yang memberi kesan kepada kualiti sumber air dicemari oleh leachate dan pencemaran udara akibat pembakaran di tapak pelupusan. 

Pelupusan sisa tidak sempurna juga akan memberi kesan yang sangat berbahaya kepada kesihatan manusia, antaranya penularan wabak berpunca daripada pembiakan vektor seperti lalat, tikus dan nyamuk, jangkitan penyakit kulit, mata dan pernafasan serta beberapa jangkitan penyakit yang boleh membawa maut seperti hepatotoxicity (kerosakan hati), nephrotoxicity (kerosakan buah pinggang), pulmonary toxicity (kerosakan paru-paru), neutrotoxicity (kerosakan pada sistem saraf) serta immunotoxicity (kegagalan sistem imunisasi). 

Oleh itu, komitmen terhadap penjagaan kebersihan persekitaran dan alam sekitar seharusnya bermula dari rumah. Institusi keluarga yang kecil adalah penentu kepada keberhasilan segala inisiatif yang dilaksanakan dalam skop yang lebih besar pada peringkat masyarakat. Justeru, ibu bapa sebagai pendidik kepada ahli keluarga dan ejen perubahan dalam keluarga haruslah memainkan peranan paling utama bagi menggerakkan segala usaha dilaksanakan oleh peringkat lebih tinggi untuk menerapkan budaya mementingkan kebersihan dan sentiasa bertanggungjawab terhadap persekitaran sekeliling termasuk pengurusan sisa pepejal yang mesra alam. Peranan dimainkan secara langsung dapat membantu menjayakan inisiatif kerajaan mewajibkan proses pengasingan sisa pepejal di punca bermula pada 1 September ini. 

Kesedaran mengenai pengasingan sisa pepejal dan amalan kitar semula khususnya di rumah juga penentu kepada tahap kualiti alam sekitar yang diwariskan kepada generasi akan datang dan memerlukan komitmen yang tinggi. Apabila pengasingan sisa pepejal di rumah dijadikan sebagai amalan dalam kehidupan seharian, tidak mustahil pengasingan sisa pepejal di tempat seperti sekolah, universiti, pejabat, restoran, premis perniagaan dan kilang dapat dijadikan sebagai budaya dalam kalangan rakyat negara ini. Ia memerlukan komitmen tinggi untuk mengubah mentaliti masyarakat hari ini kepada mentaliti kelas pertama selari dengan sasaran kita menuju negara maju pada tahun 2020. Kemerosotan kualiti alam sekitar negara tidak boleh dipersalahkan kepada mana-mana pihak, sebaliknya setiap individu harus melihat dengan mata hati dan mempertingkatkan kesedaran penjagaan alam sekitar adalah penting bagi pengekalan sumber semula jadi yang dimiliki bersama. Pengasingan sisa pepejal di punca adalah proses membabitkan pengasingan sampah mengikut kategori. Pengasingan sisa paling asas boleh dilaksanakan dengan mudah di rumah dengan mengasingkan sisa boleh dikitar semula dan sisa yang tidak boleh dikitar semula termasuk sisa makanan. 

Sisa yang boleh dikitar semula adalah botol plastik, kertas, logam dan kaca. Tetap tarikh kutipan Sisa daripada kategori berkenaan termasuk sisa pukal dan sisa kebun perlu diasingkan di dalam ruang penyimpanan berbeza. Bagi memudahkan masyarakat melaksanakan pengasingan sisa pepejal di rumah, kerajaan menetapkan jadual kutipan khusus pada setiap minggu di mana masyarakat perlu meletakkan sisa kitar semula, sisa pukal dan sisa kebun yang telah diasingkan ini di luar rumah untuk dikutip oleh syarikat konsesi yang dipertanggungjawabkan. Sisa pepejal yang tidak boleh dikitar semula boleh diletakkan di dalam tong sampah yang telah dibekalkan untuk dikutip pada hari perkhidmatan kutipan yang ditetapkan dalam seminggu. Bagi memanfaatkan sisa makanan pula, kaedah pengkomposan mudah boleh dilaksanakan di rumah. 

Pengkomposan adalah proses di mana sisa makanan yang dicampurkan dengan medium pengurai seperti daun kering, hampas kelapa atau serbuk kayu akan terurai menjadi baja kompos dalam tempoh singkat iaitu tujuh hari. Baja kompos ini boleh digunakan sebagai baja bagi tanaman di sekeliling rumah atau kawasan perumahan. Kaedah pengkomposan ini bukan saja dapat membantu mengurangkan jumlah penghantaran sisa ke tapak pelupusan, malah ia dapat membantu menjimatkan perbelanjaan untuk membeli baja. Aktiviti ini boleh juga dijadikan sebagai aktiviti riadah pada hujung minggu yang secara tidak langsung, dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan. Peningkatan pengamalan pengasingan sisa pepejal di punca bukan saja dapat meningkatkan kadar kitar semula di Malaysia, malah ia dapat dijadikan sebagai sumber ekonomi negara dengan memanfaatkan sumber daripada bahan yang boleh dikitar semula. 

Merujuk kepada statistik daripada Malaysian Plastics Manufactures Association (MPMA) (2015), Malaysia mengeluarkan 973 juta botol plastik minuman (bersamaan 19.46 juta kilogram) setahun. Hasil produk bernilai tinggi Jika dihitung harga kitar semula botol plastik, iaitu purata RM0.60 sekilogram, maka nilai sisa botol plastik jika dikitar semula di seluruh negara mencecah hampir RM12 juta setahun. Ini sumber yang signifikan kepada industri. Justeru, masyarakat harus menghargai sisa sebagai sumber yang tidak harus dibazirkan. Pihak industri kitar semula juga digalak menggunakan pendekatan upcycle iaitu pendekatan memanfaatkan bahan kitar semula bagi menghasilkan produk mempunyai nilai lebih tinggi. 

Sebagai contoh, botol plastik minuman yang dibersihkan boleh diolah menjadi fabrik untuk dijadikan pakaian, tempat duduk kenderaan dan sebagainya. Selain itu, tetrapak (kotak minuman) juga boleh diproses menjadi bumbung bangunan berkualiti dan ada ciri tahan lama, serap bunyi dan selamat. Inovasi upcycle bukan saja boleh menyelamatkan bahan sisa pepejal ini daripada terus dihantar ke tapak pelupusan semata-mata, tetapi boleh memberi pulangan signifikan kepada mereka yang mengusahakannya. 

Di samping itu, negara juga dapat mengurangkan kebergantungan mengimport sisa plastik, kertas dan kaca dari negara luar untuk dijadikan sebagai bahan dalam pembuatan sesuatu produk. Segala inisiatif boleh dirancang rapi untuk dilaksanakan tetapi apa yang paling penting adalah kesedaran dan rasa tanggungjawab daripada isi rumah itu sendiri, iaitu masyarakat mengenai kepentingan sisa 

http://www.bharian.com.my/node/78929

Tuesday, September 1, 2015

Pengasingan sisa pepejal dari punca bermula hari ini

Source : Berita Harian Online



SERDANG: Mulai hari ini semua penduduk di Kuala Lumpur, Putrajaya, Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Perlis dan Kedah wajib melaksanakan pengasingan sisa pepejal dari punca. 

Berikutan itu pemilik kediaman di negeri berkenaan wajib mengasingkan sisa pepejal mereka mengikut kategori seperti kertas, plastik dan lain. Pelancaran pelaksanaan pengasingan sisa daripada punca disempurnakan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan pada satu majlis di sini, pagi ini. 

Majlis pelancaran itu turut berlangsung serentak di Kedah, Pahang dan Johor. Sebagai simbolik sempena penguatkuasaan itu, kementerian menerusi Solid Waste Corpotion Malaysia (SWCorp) dicatatkan dalam Malaysia Books of Record apabila mereka berjaya mengumpul sejuta botol plastik menerusi kempen '1 Milion Bottles One Dream'.

 Kempen berkenaan adalah bagi menzahirkan inisiatif masyarakat untuk memelihara bumi dan menghargai alam sekitar. Dalam pada itu, semua pemilik kediaman yang gagal melaksanakan pengasingan sisa pepejal akan dikenakan kompaun RM50 mulai 1 Jun 2016.

http://www.bharian.com.my/node/78757

Monday, August 31, 2015

Pelaksanaan pengasingan sisa pepejal di 7 negeri mulai esok

Source : Berita  Harian Online


KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Datuk Ab Rahim Md Noor (dua dari kanan) menyerahkan tong kitar semula kepada wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Taman Medan Berjaya, Langkawi. - Foto Hamzah Osman

PUTRAJAYA: Bermula esok, isi rumah di tujuh negeri termasuk Kuala Lumpur dan Putrajaya akan memulakan pengasingan sisa pepejal di punca atau daripada rumah, secara mandatori. Pelaksanaan perintah yang juga diadakan di Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Kedah dan Perlis, antara lain bertujuan mengurangkan penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan sisa yang semakin meruncing, bagaimanapun ia tidak melibatkan sebarang denda. 

Sebagai langkah advokasi, isi rumah yang gagal mengasingkan sisa pepejal di punca hanya akan diberikan notis amaran sebelum penguatkuasaan sepenuhnya undang-undang kepada mereka yang ingkar dilaksanakan bermula 1 Jun tahun depan. Berdasarkan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672), denda kompaun maksimum sehingga RM1,000 boleh dikenakan terhadap penduduk yang enggan melaksanakan pengasingan sisa pepejal. 

Pelaksanaan itu menyaksikan orang ramai perlu mengasingkan sisa pepejal mengikut jenis iaitu bahan yang boleh dikitar semula, sisa baki, sisa pukal serta sisa kebun di tempat berasingan sementara menunggu hari kutipan yang telah ditetapkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp). Kaedah kutipan oleh konsesi dilaksanakan mengikut formula 2+1 iaitu kutipan dua kali seminggu untuk sisa baki manakala seminggu sekali masing-masing bagi sisa kitar semula, sisa pukal dan sisa kebun. 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Datuk Ab Rahim Md Noor berkata penguatkuasaan akta itu adalah tepat pada masanya kerana selain mampu mengurangkan peratusan jumlah sampah yang dihantar ke tapak pelupusan sehingga 40 peratus, ia juga dijangka dapat meningkatkan kadar kitar semula melebihi 22 peratus menjelang 2020. Beliau berkata daripada 33,000 tan sisa pepejal yang dikumpul setiap hari, hanya 10.5 peratus daripadanya dikitar semula manakala selebihnya dilupuskan di tapak pelupusan. "Selain dapat membantu menambahkan jangka hayat tapak pelupusan, pelaksanaan akta ini juga diyakini dapat meningkatkan kadar kitar semula kepada lebih 22 peratus menjelang 2020," katanya kepada Bernama baru-baru ini. 

Mengenai penerimaan masyarakat terhadap pelaksanaan akta pengasingan sisa pepejal di punca itu, Ab Rahim berkata secara asasnya, orang ramai sedar akan kepentingan mengasingkan setiap sampah namun masih keberatan untuk melakukannya di rumah. "Sebab itu kita telah lancar Ops Mata Hati bagi memantau sejauh mana penduduk setempat mengasingkan sisa pepejal di rumah, selain untuk membiasakan masyarakat dengan penguatkuasaan dasar tersebut," katanya. - BERNAMA

http://www.bharian.com.my/node/78642

Asing sisa pepejal ikut kategori, jimat kos RM2b setahun

BERMULA esok, penduduk di enam negeri serta dua wilayah persekutuan akan memulakan langkah kecil yang memberi impak cukup besar apabila diwajibkan mengasingkan sisa pepejal mengikut kategori. Kempen mengasingkan sisa pepejal di punca atau di rumah ini akan memberi kesan cukup besar kepada persekitaran, alam sekitar dan menjimatkan kos pengurusan sisa pepejal dan pembersihan yang menelan belanja hampir RM2 bilion setahun. 

Wartawan BH, MOHD AZIS NGAH mendapatkan komen Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rahman Dahlan, mengenai pelaksanaan usaha ini dan beliau secara jelas mengakui ia bukan kerja mudah untuk melakukan anjakan pemikiran rakyat tetapi kejayaan usaha ini juga akan menentukan perubahan peradaban rakyat Malaysia menuju negara maju. 

Penjelasan ringkas mengenai langkah mengasingkan sisa pepejal di punca atau di rumah yang akan bermula esok Ia adalah proses mengasingkan sisa pepejal yang dihasilkan di rumah mengikut komposisi sisa pepejal seperti kertas, plastik dan lain-lain seperti kaca, seramik, aluminium, besi, logam, sisa elektronik dan bahan fabrik. Ia juga membabitkan bahan berasaskan getah, kulit, dan sisa berbahaya serta sisa kebun atau taman, sisa pukal, sisa makanan, lampin pakai buang dan sisa lain yang kotor dan tercemar. 

Secara mudahnya, sisa pepejal ini hendaklah diasingkan kepada sisa yang boleh dikitar semula dan sisa baki iaitu sisa yang akan dihantar ke tapak pelupusan sampah. Contohnya kategori kertas merujuk kepada bahan seperti akhbar lama, majalah, buku, komik, katalog, poskad. Bahan plastik seperti botol minuman, botol jus, botol mineral, bekas sabun dan sebagainya. Adakah kaedah kutipan ini akan berdasarkan sistem 2+1? 

Kutipan sisa pepejal yang sudah diasingkan seperti kertas dan plastik atau bahan kitar semula akan dijalankan seminggu sekali. Bagi sisa baki, kutipan akan dibuat dua kali seminggu. Semua kerja ini akan dilakukan syarikat konsesi yang dilantik kerajaan. Bagaimana dengan penggunaan plastik untuk mengasingkan sisa ini? Adakah orang ramai akan dibekalkan plastik khas? 



KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Datuk Ab Rahim Md Noor (dua dari kanan) menyerahkan tong kitar semula kepada wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Taman Medan Berjaya, Langkawi. - Foto Hamzah Osman


Orang ramai dikehendaki menyediakan sendiri apa-apa bekas yang bersesuaian atau plastik sampah untuk mengasingkan sisa pepejal. Namun, mereka digalakkan menggunakan plastik sampah berwarna biru untuk sisa kertas dan plastik sampah putih untuk sisa plastik dan plastik hijau untuk lain-lain bahan kitar semula. 

KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Datuk Ab Rahim Md Noor (dua dari kanan) menyerahkan tong kitar semula kepada wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Taman Medan Berjaya, Langkawi. - Foto Hamzah Osman Rakyat sudah biasa dengan amalan meletakkan semua sampah atau sisa pepejal ke dalam satu tong. Ini tentunya cabaran besar mengubah amalan yang sudah dianggap selesa. Apa komen Datuk?

Kita akui mempunyai cabaran besar dalam menguruskan sisa pepejal. Di negara membangun dan maju, kadar kitar semula sangat tinggi kerana rakyatnya berasakan itu tanggungjawab mereka menjaga sumber alam dan ini adalah cara menguruskan pembaziran. Dalam kehidupan moden, kadar pembaziran begitu mendadak tinggi, jadi kena ada kaedah baharu mengurangkan. 

Di negara maju, tahap kesedaran rakyat mereka agak tinggi berbanding di negara membangun kerana belum ada sesuatu yang boleh dibanggakan dalam perkara ini. Kadar kitar semula di Malaysia dianggarkan 10 hingga 11 peratus sahaja dan kita menyasarkan sekurang-kurangnya 22 peratus menjelang tahun 2020. Ini cabaran besar kerana perlukan anjakan minda kerana apabila melaksanakan kitar semula, ia adalah peradaban baharu. Ia bukan senang kerana sudah biasa dengan amalan melonggokkan semua jenis sampah ke dalam satu tong. Kita telah memutuskan pada tahun lalu untuk membuat kutipan berasaskan konsep 2+1 iaitu dua kali kutipan sisa basah dan sekali sisa kitar semula, tetapi ia tidak wajib diasingkan. 

Apabila tidak diasingkan antara botol plastik, kaca, kertas atau sisa dapur, ia memerlukan satu proses khas di tempat pelupusan sampah dan ia akan meningkatkan kos kerana pengurusan di tapak pelupusan akan mengenakan caj tambahan. Jadi, lebih baik rakyat yang mengasingkan sampah di punca kerana jika dibuat di tapak pelupusan, kos akan ditanggung kerajaan. Jika buat di kawasan masing-masing, apabila sampai ke pusat pelupusan, ia lebih senang dilupuskan. Ia juga akan memberi kesedaran kepada peringkat isi rumah mengenai apa yang perlu dibuat. 

Apabila kita faham dan peka, kita akan tahu apa perlu dibuat. Kenapa hanya negeri yang disenarai sahaja diwajibkan melaksanakan langkah pengasingan sisa pepejal ini? Kenapa sistem itu tidak dilaksanakan di seluruh negara? Ia merujuk pada negeri Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis, Kedah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya. Hanya mereka menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 atau Akta 672 walaupun ia sepatutnya dijalankan di seluruh Semenanjung. 

Kita hanya boleh laksanakan jika kerajaan negeri bersetuju melaksanakan Akta 672 ini. Selangor dan Pulau Pinang adalah negeri besar, tetapi masih tidak bersetuju melaksanakan akta ini walaupun secara peribadi saya berasakan mereka sepatutnya bersetuju berdasarkan kemampuan mengurus sedangkan sistem pengurusan sampah di negeri terbabit tidak begitu memuaskan sehingga menimbulkan banyak rungutan. Ada banyak sebab negeri-negeri lain tidak bersetuju, pertamanya mungkin disebabkan masalah kewangan, kekurangan peralatan atau sistem yang diguna pakai. 

Bagi negeri yang bersetuju, mereka wajib menggunakan trak khas mengikut standard yang ditetapkan dan harganya dianggarkan kira-kira RM300 juta. Kita tak boleh memaksa, tetapi ketika ini, kita sedang berbincang dengan beberapa negeri mengenai perkara ini supaya sistem pengurusan sisa pepejal seluruh negara mengikut standard ditetapkan. Bagaimana dengan maklum balas yang diterima setakat ini dan adakah Kementerian yakin ia mampu mencapai sasaran ditetapkan? 

Maklum balas setakat ini memang positif dan ini membuktikan pemikiran rakyat semakin matang dan peka terhadap penjagaan alam sekitar. Kita merancang mengadakan kajian terperinci mengenai status semasa pengurusan sisa pepejal negara pada tahun 2016 sehingga tahun 2021 bagi menilai kesan dan impak program yang dijalankan. Setakat ini, kita menetapkan sasaran kadar kitar semula meningkat ke tahap 22 peratus menjelang tahun 2020 iaitu bermula daripada peringkat awal sehingga ke tahap akhir pada peringkat kitar semula. Kita masih ada lima tahun lagi. Sebenarnya, sudah banyak perkara dilakukan bagi mencapai sasaran ini. 

Bermula dengan langkah penswastaan, diikuti tindakan menetapkan Indeks Prestasi Utama (KPI) mengurangkan pembaziran dan pengurusan lebih baik. Ia diteruskan dengan konsep 2+1 dan langkah seterusnya ialah memastikan perkara ini (pengasingan) diwajibkan. Mungkin kita akan memikirkan sehingga ke tahap jika terlalu banyak membuang sampah, mereka akan didenda dengan cara terpaksa membeli lebih banyak plastik khas. Kita kena pastikan sampah dimasukkan ke dalam plastik khas. Ada juga cadangan supaya dikenakan bayaran tertentu untuk tempoh tertentu. 

Adakah sekarang pelaksanaannya percuma? Bukan percuma, mereka sudah membayarnya, tetapi kos itu diserap melalui bayaran cukai pintu. Memang ada komponen untuk pengurusan sisa pepejal.

 
MENTERI Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan. - Foto Abd Rahim Rahmat

Tetapi kos keseluruhan banyak ditanggung Kerajaan Pusat yang membelanjakan hampir RM2 bilion setahun. Bagaimana dengan persiapan melaksanakan usaha ini terutama aspek logistik dan kempen penerangan supaya masyarakat lebih faham dan bersedia? Semuanya sudah bersedia. Bagi negeri yang menerima pakai Akta 672, sudah banyak program penerangan dilaksanakan. Memang sudah ada program sistematik, contohnya mengedarkan risalah dan majalah kepada isi rumah. 

Banyak kempen melalui media, contohnya melalui akaun sosial twitter menggunakan tag #asingkan diguna pakai sebanyak 16.7 juta kali bermula 9 Ogos sehingga 26 Ogos. Itu adalah sebahagian daripada contoh kempen dan pendekatan ini akan berterusan di pelbagai saluran. Kita juga menggunakan tag #separate. 

Bagi negeri yang tidak terbabit dalam kempen ini, kita juga menggalakkan mereka memberi penerangan kepada rakyat masing-masing. Ramai keliru dengan kenyataan berkaitan denda jika gagal mengasingkan sisa pepejal. Tidakkah itu keterlaluan? Ya, ramai yang tidak faham. Pelaksanaan sisa pepejal di punca secara mandatori bermula September 2015, tetapi ia dilaksanakan secara berperingkat.

 Peringkat awal, tiada sebarang denda akan dikenakan. Jika mengikut akta ini, memang ada peruntukan mengenakan denda sehingga kadar maksimum sebanyak RM1,000, tetapi apa yang kita lakukan ialah mengambil pendekatan memberikan isi rumah masa secukupnya untuk mereka lebih faham. Bermula 1 September, kita memberi mereka ruang kira-kira sembilan bulan sehinggalah akhir Mei 2016, kita tidak akan kenakan kompaun, sebaliknya terus memberi nasihat dan penerangan. 

Apabila tamat tempoh iaitu bermula 1 Jun 2016, kami harap mereka sudah faham dan kompaun akan dikenakan. Bagi rumah yang bertanah seperti teres, banglo, semi D, denda sebanyak RM50 bagi kesalahan pertama, RM100 (kesalahan kedua), RM200 (kesalahan ketiga) dan jika kompaun tidak diselesaikan, tindakan seterusnya diserahkan kepada mahkamah. Bagi rumah serata seperti flat dan kondominium, kadarnya berbeza bermula dengan RM100 bagi kesalahan pertama, RM200 (kedua) dan RM500 (ketiga).

Jika tidak diselesaikan, ia akan dirujuk kepada mahkamah. Bagi kategori rumah serata ini, kita akan berurusan dengan jawatankuasa pengurusan bersama perumahan itu yang bertanggungjawab menguruskan sesuatu perumahan. Terpulang kepada mereka bagaimana nak menguruskan dengan pemilik rumah. Difahamkan, sebahagian besar sisa yang dikumpul setiap hari ialah sisa makanan yang jelas menunjukkan kadar pembaziran cukup tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia. 

Statistik menunjukkan lebih 30,000 tan sisa makanan dikutip setiap hari. Bayangkan betapa banyak sisa makanan. Sebab itulah kita mahu maklumkan pelupusan sisa pepejal itu adalah tindakan terakhir kerana masih banyak tindakan lain boleh kita buat, contohnya kurangkan penggunaan. Berbelanja dan makan mengikut keperluan, bukan kehendak. Boleh guna semula apa sahaja yang boleh dan tindakan kitar semula adalah tindakan terakhir. Gunakan konsep 3R iaitu Reduce (pengurangan), Reuse (guna semula) dan Recycle (kitar semula). Langkah pengurangan dan penggunaan semula itu adalah langkah paling mudah. Apabila sudah sampai tahap negara maju, kita bimbang perkara itu dilupakan, berbelanja melebihi keperluan dan kos pengurusan semakin bertambah. 

Jika kos hampir RM2 bilion setahun yang dibelanjakan untuk menguruskan pembersihan dan pengutipan sampah tadi boleh dikurangkan ke tahap RM1 bilion atau RM500 juta, bayangkan berapa banyak sekolah boleh dibina. Bantulah kerajaan menguruskan sisa pepejal supaya duit itu boleh diuruskan untuk perkara lain. 

Melalui program ini, kita menjangkakan mampu mengurangkan sehingga 40 peratus jumlah sampah yang dihantar ke tapak pelupusan, sekali gus menambah usia tapak pelupusan sedia ada. Sebab itulah program pengurusan sisa pepejal di punca ini sangat penting untuk memastikan sampah dapat diuruskan dengan lebih berkesan. Sebelum ini, pernah ada kempen mengurangkan penggunaan bahan plastik, tetapi ia dilihat tidak begitu berjaya. Apa komen Datuk? 

Agak susah kerana rakyat Malaysia seolah-olah sudah jatuh cinta dengan penggunaan plastik. Paling membimbangkan ialah penggunaan botol plastik. Mungkin boleh kurangkan plastik ketika membeli-belah, tetapi penggunaan botol plastik semakin meningkat. Melalui pelbagai kempen dan pendekatan yang sudah dijalankan, adakah Datuk rasa mereka cukup bersedia berganding bahu memastikan usaha ini tercapai? 

Pada peringkat awal, ia agak sukar, mungkin kerana tidak faham. Mungkin mereka terlalu selesa dengan amalan mengumpulkan semua jenis sampah ke dalam satu plastik sampah. Mereka tidak faham, bayangkan jika 30,000 tan sampah yang dikumpul setiap hari ini sudah diasingkan awal, ia lebih mudah dan menjimatkan kos. Tapak pelupusan sampah juga semakin berkurangan dan kita terpaksa membuka tapak baharu yang jauh daripada penempatan. Tentunya orang ramai tidak mahu tapak baharu dibuka berhampiran penempatan baharu. Itu semua membabitkan kos logistik dan pengangkutan menghantar sampah. Semua kos itu ditanggung rakyat. Sebab itulah usaha mengurangkan kos itu sangat penting. 

Saya percaya, lama kelamaan rakyat akan faham dan boleh menerimanya dengan baik. Negara maju berjaya melaksanakan kerana mentaliti mereka sudah berubah dan sayangkan negara. Ini adalah satu isyarat rakyat kita sudah semakin menerima peradaban baharu. Jika sanggup melakukan usaha, maknanya peradaban kita semakin bertambah baik. Contoh paling mudah, kita boleh gunakan air tadahan hujan untuk bersihkan kenderaan atau menyiram pokok bunga. Tetapi disebabkan ia memerlukan sedikit kos, mereka tidak sanggup lakukan pada hal menggunakan bekalan air paip juga perlukan kos. Perkara mudah seperti inilah yang sepatutnya difikirkan, begitu juga dengan tindakan pengasingan sisa pepejal.

http://www.bharian.com.my/node/78592