Tuesday, July 19, 2011

Malaysia sudah gubal Rang Undang-Undang Senjata Kimia: PM

Source : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/MalaysiasudahgubalRangUndang-UndangSenjataKimia_PM/Article

Malaysia sudah gubal Rang Undang-Undang Senjata Kimia: PM


2011/07/19

KUALA LUMPUR: Malaysia sudah menggubal rang undang-undang senjata kimia yang akan menjadi sebahagian daripada rangka kerja perundangan negara untuk menentukan Konvensyen Senjata Kimia (BWC) dilaksanakan dengan berkesan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, kerajaan yakin rangka kerja perundangan yang diwujudkan itu akan membantu dalam usaha menjamin satu kaedah yang selamat dalam mengendalikan bahan kimia berbahaya dan pada masa sama, menentukan keperluannya tidak menjejaskan penyelidikan sains kehidupan dan entiti perniagaan di negara ini.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada perasmian Kongres Antarabangsa Mengenai Biokeselamatan, Biojaminan dan Biopertahanan di sini hari ini.
Ucapan beliau dibacakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Najib berkata, kerajaan sedang mendapatkan maklumat balas mengenai cara untuk mempercepatkan pembangunan bioteknologi di negara ini dan pada masa yang sama, menentukan bahawa sebarang kebimbangan mengenai biokeselamatan dan biojaminan, ditangani dan diambil kira.

Ahmad Zahid memberitahu pemberita bahawa Kementerian Pertahanan akan menerajui penggubalan rang undang-undang itu dengan Institut Penyelidikan Sains Dan Teknologi Pertahanan (STRIDE).

"STRIDE akan mengumpul maklumat daripada beberapa agensi termasuk Kementerian Kesihatan mengenai rang undang-undang itu dan akan mendapatkan bantuan Jabatan Peguam Negara," katanya.
Ahmad Zahid berkata, rang undang-undang itu adalah untuk digunapakai di negara ini bagi mengekang penyalahgunaan senjata kimia oleh mana-mana pihak.

Beliau berkata, rang undang-undang itu diharap dapat dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat pertengahan tahun depan. - BERNAMA

No comments: