Tuesday, July 30, 2013

Usah buang bekas racun dalam sungai

Sumber : Utusan Online, 30/7/13

PULAU PINANG 29 Julai - Sahabat Alam Malaysia (SAM) kesal dengan sikap segelintir pesawah di Kedah yang membuang bekas racun termasuk beg plastik baja ke dalam saliran dan sungai di kawasan sawah padi di negeri berkenaan.

Presiden SAM, S.M. Mohamed Idris berkata, tindakan tersebut bukan sahaja mencemarkan sistem saliran dan sumber air malah turut mengancam pembiakan ikan air tawar di kawasan berkenaan.
"Dalam tinjauan yang dibuat SAM baru-baru ini, kami dapati banyak botol racun dan beg plastik baja terapung di permukaan air di beberapa saliran dan sungai di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan kawasan sekitar.

"Selain jenama racun keluaran tempatan, kami juga menemui bekas racun yang diharamkan penggunaannya di negara ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

S.M. Mohamed berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, penggunaan racun oleh pesawah di kawasan MADA dan luar MADA di Kedah begitu aktif dan ketara berikutan ancaman makhluk perosak yang serius seperti tikus, siput gondang dan pembiakan rumput sambau.

"Keadaan ini amat membimbangkan SAM kerana amalan tersebut gagal dikawal dengan berkesan oleh pihak berkenaan.

"Masalah pencemaran air di kawasan sawah menjadi lebih serius apabila terdapat juga pihak yang menggunakan bahan toksik bagi membunuh rumpai untuk membersihkan saliran dan sungai," ujarnya.
Ekoran itu katanya, sisa rumput yang mati akan mendap serta menyebabkan saliran serta sungai menjadi cetek dan lebih buruk lagi tebingnya berpotensi untuk runtuh akibat hakisan.

"Keadaan sedemikian jika berterusan akan mencetuskan ancaman banjir. Oleh itu, SAM menggesa MADA, Jabatan Pertanian dan Jabatan Pengairan dan Saliran mengambil tindakan segera bagi mengawal masalah tersebut daripada berterusan," katanya.

Menurutnya, jika keadaan tersebut dibiarkan, alam sekitar akan terjejas dengan lebih teruk lagi pada masa akan datang dan mengancam kesihatan pesawah.

"Selain itu, ikan air tawar yang menjadi punca pendapatan dan sumber protein penduduk luar bandar akan pupus serta ancaman banjir yang lebih buruk mungkin berlaku," katanya.
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: