Thursday, September 19, 2013

Stor bahan kimia terbakar, 500 penduduk diarah pindah

PULAU PINANG 19 Sept. - Lebih 500 penduduk Kampung Pisang, Air Itam di sini terpaksa mengosongkan kediaman masing-masing ekoran bau yang dihasilkan oleh gas toksik akibat kebakaran sebuah stor penyimpanan bahan kimia malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam, stor simpanan hidrogen sulfurik yang berada di kawasan kampung tersebut terbakar dan menghasilkan bau kuat sehingga membuatkan penduduk panik serta sesak nafas.

Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Azmi Tammat berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 9.35 malam mengenai kejadian berkenaan.

Menurutnya, sebaik sahaja tiba di kampung itu, anggotanya terhidu bau toksik yang dikesan datang dari stor bahan kimia tersebut.

"Gas toksik itu boleh mengundang bahaya kepada penduduk tetapi kita berjaya mengawal keadaan.
"Setakat ini tiada kejadian tidak diingini berlaku dan kita berjaya memindahkan dan menghapuskan sisa toksik yang menyebabkan penduduk tidak selesa kerana terhidu gas beracun," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau memberitahu, penduduk dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing pada pukul 3 pagi selepas didapati tiada lagi bau gas beracun tersebut. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130919/je_09/Stor-bahan-kimia-terbakar,-500-penduduk-diarah-pindah#ixzz2tTpQ9wgD
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: