Thursday, July 2, 2015

Asing sisa pepejal secara mandatori mampu kurang 40 % sampah

Source : Berita Harian Online 





KUALA LUMPUR: Pelaksanaan pengasingan sisa pepejal secara mandatori kepada isi rumah yang akan bermula September ini mampu mengurangkan 40 peratus jumlah sampah di tapak pelupusan sampah. 

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata kini sebanyak 33,130 tan sampah dikumpul sehari di negara ini dan kerajaan telah membelanjakan RM1.4 bilion untuk menguruskan sisa pepejal.

 "Saya beri jaminan melalui pelaksanaan program ini, ia dapat membantu proses pengumpulan dan pengurusan sisa pepejal dalam negara menjadi lebih baik," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. Abdul Rahman berkata demikian bagi menjawab kenyataan menerusi media oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang kurang bersetuju berhubung pelaksanaan pengasingan sisa pepejal secara mandatori itu. 

Mohamad semalam dilaporkan berkata, pelaksanaan penalti itu perlu dikaji semula kerana tahap kesedaran masyarakat mengenai pengurusan terbaik bagi sisa pepejal masih rendah. Bagaimanapun, Abdul Rahman berkata, kini kementeriannya telah dan sedang menjalankan pelbagai kempen kesedaran dan pendidikan awam secara berterusan menerusi pelbagai medium, yang menelan belanja sebanyak RM5 juta.

 "Saya yakin dengan adanya pelbagai kempen ini, masyarakat akan lebih bersedia dan mengetahui bahawa proses pengasingan sisa di punca adalah mudah dan tidak merumitkan," katanya. 

Lagipun katanya, denda hanya akan dikenakan semasa peringkat kedua pelaksanaan pengasingan sisa pepejal secara mandatori ini iaitu mulai 1 Jun 2016. Katanya, tiada sebarang denda akan dikenakan kepada isi rumah yang gagal mengasingkan sisa pepejal mereka pada peringkat awal pelaksanaan tersebut iaitu mulai September ini sehingga Mei 2016. 

Sebaliknya mereka hanya akan diberi notis amaran dan nasihat daripada anggota-anggota penguat kuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp). - BERNAMA

http://www.bharian.com.my/node/65259

No comments: