Sunday, July 12, 2015

SWCorp pantau 22,000 rumah sejak 1 Julai, keluar 1,541 peringatan

Source : Berita Harian Online



PUTRAJAYA: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp) yang melancarkan Ops Mata dan Hati untuk membudayakan amalan pengasingan sisa pepejal di punca, sudah membuat pemantauan kira-kira 22,000 isi rumah sambil mendidik orang ramai mengamalkan pengasingan sisa di punca. 

Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Datuk Ab Rahim Md Noor, berkata Ops Mata dan Hati yang dilancarkan sejak 1 Julai lalu, serentak di negeri-negeri yang mengguna pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah. 

Beliau berkata, pemantauan dari rumah ke rumah itu adalah langkah awal untuk memastikan penduduk membiasakan diri dengan menyediakan kelengkapan untuk melakukan pengasingan sisa di punca sebelum penguatkuasaan menjelang penguatkuasaannya pada 1 September ini.

 "Dalam tempoh tujuh hari (1 hingga 8 Julai) pemantauan pelaksanaan pengasingan sisa di punca, anggota penguat kuasa memeriksa 21,674 isi rumah di 130 taman dan mengeluarkan 1,541 surat peringatan mesra kepada mereka yang belum melaksanakan pengasingan sisa di punca," katanya. 

Ab Rahim berkata, pada peringkat awal pelaksanaan (1 September ini sehingga 30 Mei tahun depan) tiada sebarang denda akan dikenakan kepada isi rumah yang gagal mengasingkan sisa pepejal. "Mereka hanya akan diberikan notis amaran dan nasihat daripada anggota penguatkuasaan SWCorp. 

Denda hanya akan dikenakan semasa peringkat kedua pelaksanaan mulai 1 Jun tahun depan," katanya. Ab Rahim berkata, sepanjang Ops Mata dan Hati, pasukan SWCorp akan turun padang sambil mendidik orang ramai cara pengasingan sisa di punca yang betul dan berkesan agar bahan buangan domestik dapat dilupuskan secara sistematik. 

"Kalau hanya membuat hebahan melalui media cetak dan elektronik, orang ramai berkemungkinan kurang memahami kaedah yang efektif untuk mengasingkan sisa. "Sehubungan itu, SWCorp mengambil inisiatif turun pandang sambil memberi penjelasan dan menunjukkan cara pengasingan sisa yang betul dan senang," katanya.

 Ab Rahim berkata, rakyat Malaysia 'menjana' kira-kira 33,130 tan sampah setiap hari dan kerajaan membelanjakan RM1.4 bilion setahun untuk tujuan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam. Melalui pelaksanaan pengasingan sisa di punca, beliau berkata, ia dijangka mampu mengurangkan 40 peratus jumlah sampah yang dihantar ke tapak pelupusan sampah yang sekali gus dapat menambah jangka usia tapak pelupusan sedia ada. - BERNAMA

http://www.bharian.com.my/node/67437

No comments: