Saturday, November 7, 2015

Kabin kitar semula siap Januari ini

Source : Berita Harian Online 

KUALA LUMPUR: Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini dalam proses untuk memasang kabin di pusat kitar semula pertama khusus untuk peniaga di Jalan Bunus, Masjid India. Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Mohd Zain Hassan berkata projek itu dijangka siap pada Januari depan. 

"Kita mulakan dan beri tumpuan di tempat-tempat komersial sebab dengan adanya kabin itu, ia membolehkan peniaga menjual semula barangan atau sampah terpakai mereka," katanya pada sidang media selepas perasmian Majlis Gotong-Royong 'Jom Bersih Bukit Bintang 9' di sini, hari ini.

Beliau berharap kewujudan kabin itu menjadi langkah terbaik dalam pengumpulan sampah dan membantu mengurangkan kos pengurusan sampah. Mohd Zain juga berkata sejumlah 30 tan sisa pepejal yang diasingkan dalam tempoh dua bulan melalui projek perintis pengasingan sisa pepejal yang dikuatkuasa bermula 1 September lalu, dikutip di ibu kota. 

Katanya, ia adalah satu perkembangan yang baik sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan sebanyak 20 peratus penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan menjelang 2020. "Setakat ini, negara kita sudah berjaya mengurangkan sebanyak 12 peratus penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan di seluruh negara," katanya. 

Katanya, sambutan masyarakat terhadap langkah pengasingan sisa pepejal itu adalah positif dan beliau turut memuji masyarakat kawasan Bukit Bintang kerana telah memberikan komitmen yang tinggi dalam menjayakan pengasingan sisa pepejal. 

Mohd Zain berkata, usaha yang diambil oleh masyarakat di kawasan tersebut perlu dijadikan sebagai contoh dan ikutan buat masyarakat di kawasan-kawasan yang lain. Bertemakan 'YES TO 3R', majlis gotong-royong itu disertai kira-kira 1,000 peserta yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur. -- BERNAMA




No comments: