Wednesday, November 25, 2015

Kerajaan sokong penggunaan sisa pepejal jana elektrik - Ongkili

Source : Berita Harian Online


Datuk Seri Maximus Ongkili

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus menyokong usaha penggunaan sisa pepejal bagi menghasilkan sumber tenaga boleh diperbaharui untuk menjana elektrik melalui konsep "Waste to Wealth". 

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili, berkata setakat ini penjanaan elektrik menggunakan sisa pepejal menyalurkan sebanyak tujuh megawatt tenaga elektrik. "Sebanyak 25.4 megawatt tenaga elektrik yang dihasilkan daripada sisa pepejal itu masih belum lagi boleh disalurkan kerana masih belum diluluskan.

 "Melalui kerjasama daripada semua pihak termasuk kementerian-kementerian yang berkaitan, kami menyokong penjanaan tenaga elektrik menggunakan sisa pepejal melalui konsep 'Waste to Wealth'," katanya. Ongkili berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (BN-Sabak Bernam) berkenaan usaha kerajaan memanfaatkan sisa pepejal untuk menjana kuasa elektrik, di Dewan Rakyat di sini, hari ini. 

Menjawab soalan tambahan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) berkenaan peratusan tenaga boleh diperbaharui yang dimiliki oleh negara ini, Ongkili berkata setakat ini Malaysia mempunyai 14 peratus tenaga boleh diperbaharui. "Berikutan keputusan yang dibuat oleh Menteri-menteri Tenaga ASEAN pada bulan lalu, semua jenis hidro telah dikategorikan sebagai diperbaharui menjadikan jumlah peratusan sebanyak 14 peratus berbanding sebelum itu kira-kira enam peratus. 

"Sasaran Malaysia adalah mencapai status 23 peratus tenaga diperbaharui menjelang tahun 2025 dan kita yakin dengan usaha semua pihak dapat mencapai sasaran itu," katanya. - BERNAMA

http://www.bharian.com.my/node/99888

No comments: