SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor melaksanakan pelan mitigasi bagi menangani masalah kandungan ammonia di Loji Pembersihan Air (LPA) Cheras Batu 11 dan LPA Bukit Tampoi yang operasinya dihentikan sementara berikutan pencemaran itu.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar negeri, Elizabeth Wong, berkata Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) selaku urus setia Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Selangor bersama agensi teknikal berkaitan mengambil tindakan segera mengenal pasti punca pencemaran yang berpotensi menyebabkan peningkatan ammonia.
"Antara tindakan segera diambil adalah dengan meningkatkan kadar pengudaraan bagi merawat ammonia di 51 loji rawatan kumbahan terpilih bagi menyelesaikan masalah kandungan ammonia ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat mingguan Exco di sini, hari ini.
LPA Cheras Batu 11 yang kembali beroperasi 2 Feb lepas terpaksa ditutup semula pukul 8 pagi dua hari kemudian (4 Feb) apabila kandungan ammonia dikesan meningkat ke paras 6.40PPM (part per million) berbanding paras dibenarkan iaitu 1.50PPM.
Sementara LPA Bukit Tampoi yang ditutup sejak 28 Januari lalu belum dapat beroperasi berikutan pencemaran ammonia masih di paras 4.20PPM.
Berikutan penutupan itu, beberapa kawasan di Hulu Langat dan Kuala Langat dijangka terus mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.
Wong berkata, sebagai langkah jangka panjang, pihaknya bercadang menggantikan penuras di LPA Cheras Batu 11 dan LPA Bukit Tampoi bagi mengurangkan kadar ammonia dalam air mentah yang menelan kos kira-kira RM5 juta dengan membabitkan anggaran tempoh kerja penggantian dan pemasangan antara enam hingga lapan bulan.
- BERNAMA
No comments:
Post a Comment