Saturday, February 15, 2014

Mata pencarian nelayan terjejas



JOHOR BAHRU 15 Feb. - Sejumlah 38 nelayan dari Kampung Plentong Tengah di sini mendakwa hampir hilang mata pencarian akibat pencemaran disebabkan pembuangan sampah-sarap di Sungai Plentong yang berlarutan selama setahun dan menjadi semakin meruncing sejak minggu lalu.
Ketua Nelayan Kampung Plentong Tengah, Asmadi Jidin, 68, berkata, warna air sungai berubah menjadi hitam dan menghasilkan selut yang luar biasa selain bau busuk, dipercayai pembuangan sampah sarap oleh penduduk.

"Ia mengakibatkan aktiviti menangkap udang dan ikan terjejas, malah sejak seminggu lalu air terlalu kotor. Jika dulu kami dapat bawa balik sehingga lapan kilogram udang dan ketam, sekarang ini mahu mendapatkan sekilogram pun sukar walaupun bekerja dari pagi sampai ke petang," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Dia yang menetap di kawasan tersebut sejak 40 tahun lalu berkata, pencemaran memburukkan lagi keadaan kerana sebelum ini hasil tangkapan telah pun berkurangan disebabkan penambakan pasir dan penebangan hutan bakau di situ.

Osni Sulong, 48, yang menjadi nelayan sejak di usia remaja berharap pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Alam Sekitar dapat memberi perhatian terhadap permasalahan yang berlaku sebelum melarat.

"Sungai bertambah keruh ketika paras sungai mulai surut dan dikhuatiri menjadi semakin teruk sekiranya tindakan pembersihan tidak dilakukan segera. Golongan nelayan berharap pencemaran yang berlaku mendapat perhatian sewajarnya dari pihak berwajib agar tidak berterusan," katanya.

Sementara itu rakannya, Shukor Ismail, 57, memberitahu, kebanyakan mereka kini terpaksa bergantung kepada wang simpanan untuk meneruskan kehidupan.

"Kami berharap masalah ini dapat diselesaikan segera agar nelayan di sini dapat meneruskan aktiviti menangkap ikan seperti biasa.

"Masalah ini bukan sahaja berlaku pada nelayan Kampung Plentong Tengah, tetapi juga mereka yang bekerja sebagai nelayan di kampung-kampung sekitar sini," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Johor/20140216/wj_01/Mata-pencarian-nelayan-terjejas#ixzz2tTWIbfmh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: