Monday, February 10, 2014

JAS terus pantau kualiti air Pantai Batu Ferringhi

Source : Berita Harian, 10/2/14

GEORGETOWN: Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan menjalankan siasatan berterusan terhadap air sungai dan laut di Pantai Batu Ferringhi di sini bagi memastikan ia selamat. 

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G Palanivel, berkata JAS akan meneruskan pemantauan setiap hari di sekitar kawasan pantai berkenaan sehingga berpuas hati tiada pencemaran di situ. 

"Kami sedang menjalankan ujian mengenai E.coli (Escherichia coli)...siasatan awal mendapati peratusannya amat tinggi. 


"Kami perlu teliti siapa menjadi punca kepada pencemaran ini dan dan kami perlu denda mereka. Tindakan mahkamah akan diambil oleh Jabatan Alam Sekitar," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah Kompleks Dewan Serbaguna Persatuan India Pulau Pinang, di sini hari ini. 

Akhbar sebelum ini melaporkan sebahagian air laut di pantai itu bertukar menjadi hitam, dipercayai tercemar dengan sisa kumbahan dan siasatan awal JAS menemukan elemen bakteria E.coli dalam sampel air yang diambil daripada Sungai Batu Ferringhi. 

Palanivel berkata, JAS sedang melengkapkan siasatan mengikut Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 dan mana-mana premis yang didapati tidak mematuhi had pelepasan yang ditetapkan akan diambil tindakan. 

Sementara itu, Presiden Persatuan India Pulau Pinang, G Ananda Krishnan Naidu, berkata Kompleks Dewan Serbaguna yang dibina di tapak seluas 0.81 hektar itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun. 
Beliau berkata, kompleks yang terletak di Jalan Bagan Jermal, di sini itu menelan belanja kira-kira RM15 juta dan dapat menampung antara 1,200 dan 2,000 orang dalam satu masa. 

Kompleks itu dibina bagi membolehkan masyarakat India di negeri ini mengadakan acara-acara tertentu termasuk majlis perkahwinan, kebudayaan dan aktiviti sukan. 

- BERNAMA

No comments: