Tuesday, February 11, 2014

Terokai aktiviti alam sekitar

Source : Berita Harian, 11/2/14

Kecenderungan aktiviti lasak memberi inspirasi kepada Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil mewujudkan lokasi percutian suasana aman damai dan keindahan semula jadi tanpa perlu ke lokasi yang jauh daripada kesibukan ibu kota. 

Resort yang dinamakan Tanah Aina Farah Soraya terletak di Raub, Pahang itu menawarkan konsep eko-pelancongan dengan kemudahan aktiviti perkhemahan seisi keluarga. 

Shariffa Sabrina berkata, sejak kecil beliau minat meneroka alam sekitar dan gemar memandu kenderaan pacuan empat roda untuk mendekati keindahan alam sekitar. 


“Ketika kecil saya gemar menaiki Bukit Bendera bagi menyaksikan pemandangan sekeliling Pulau Pinang. 

“Saya sukakan kedamaian alam semula jadi yang kaya di Malaysia, namun kerakusan manusia menerokai hutan menjadikan warisan hutan hujan semakin terhakis menyebabkan keadaannya kini jauh lebih buruk berbanding 10 tahun lalu,” katanya ditemui di resortnya di Raub Pahang, baru-baru ini. 

Resort yang dibangunkan dalam kawasan hutan itu hanya mengambil masa kira-kira satu jam setengah dari Kuala Lumpur itu dibina dengan kos RM5 juta. Ia membabitkan lima peratus daripada 60 hektar tanah. 

Katanya, resort itu satu-satunya penginapan di Malaysia yang mengekalkan alam semula jadi supaya pengunjung yang menginap, merasai suasana tinggal di alam belantara. 
“Konsep itu sekali gus menawarkan kelainan sekali gus memberi pengalaman berharga kepada pengunjung yang tidak pernah bermandi sungai, melihat ikan terutama daripada spesies kelah, mendaki bukit dan mandi air terjun. 

Shariffa Sabrina, berkata hutan hujan di Malaysia sememangnya anugerah Ilahi yang tidak ternilai dan semua pihak wajar bersama bersama menjaga alam sekitar. 

,b>Pelihara hutan sebagai fardu kifayah 

Meskipun sibuk dalam menguruskan resort dan perniagaan lain, Shariffa Sabrina juga aktif mempertahankan alam sekitar terutama hutan simpan daripada terus musnah menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO). 

Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) itu mengharapkan lebih ramai sukarelawan tampil menyertai program penanaman pokok di kawasan yang dikenal pasti terjejas. 

Program terbaru PEKA adalah Larian Selamatkan Hutan 2014 yang diadakan di Hutan Simpan Sungai Besi, 26 Mac depan yang dikenakan bayaran RM80 bagi setiap pasukan yang terdiri daripada dua orang. 

Ditanyakan mengapa beliau berusaha keras mengambil bahagian dalam program mempertahankan alam sekitar, beliau menganggap ia sebagai fardu kifayah dan matlamatnya mahu hutan yang ada ini untuk diwarisi generasi akan datang. 

“Aktiviti pembalakan haram adalah punca kemusnahan ekosistem, tanah runtuh, pencemaran air yang memberi kesan langsung terhadap kehidupan manusia. Kerajaan perlu memandang serius masalah berkaitan alam sekitar. 

“Malaysia adalah negara bertuah kerana masih memiliki hutan, namun berdepan masalah pembalakan hingga mengakibatkan bencana alam yang disebabkan kerakusan manusia mengaut keuntungan jutaan ringgit menghapuskan hutan semula jadi. 

Katanya, masalah itu turut menyebabkan binatang liar hilang habitat manakala masyarakat Orang Asli pula kehilangan sumber rezeki kerana mereka bergantung kepada sumber hutan sebagai mata pencarian. 

Bagi Rosparadila Abdul Rahman, 29, yang gemar meneroka alam semula jadi bersama kenalan rapat terutama ke lokasi air terjun menganggap lokasi seumpama itu mampu menghilangkan tekanan bekerja. 

Katanya, antara lokasi yang pernah diterokai termasuk di Hutan Lipur Sungai Congkak, Hulu Langat, Selangor yang wajib dikunjungi hampir setiap hujung minggu, selain sukan mandi air terjun dan berpeluang mendaki Bukit Chenuang. 

“Mengunjungi kawasan air terjun bagaikan terapi diri yang sempurna apabila berpeluang beriadah. Jika bercuti di luar Kuala Lumpur, saya bersama rakan akan menghabiskan sekurang-kurangnya tiga hari untuk menerokai alam,” katanya yang bekerja di Bangi. 

Beri kepuasan 

Sebagai wanita bujang, Ruhaya Abd Hamid, 29, juga gemar mendaki Gunung Broga, Semenyih dan Jugra dekat Banting. Pengalaman ke Tanah Aina Farah Soraya benar-benar memberi kepuasan. 

“Berada di sini rasa aman tanpa gangguan kerana terpisah seketika dengan orang luar khususnya keluarga tersayang dan tidak ada talian telefon dan internet. 

Jadi percutian singkat dua hari semalam ini dipenuhi dengan aktiviti mendaki bukit, luncur keluang (flying fox), ‘morning walk’ dan banyak aktiviti lain,” katanya yang juga anak kelima daripada enam adik beradik,” katanya. 

Lakukan aktiviti berkumpulan 

Bagi anak kelahiran Kelantan, Nik Hazirah Nik Daud, 31, berkata beliau lebih gemar menghabiskan masa ke pulau, namun pengalaman mengunjungi resort dalam hutan memberikan kenangan bermakna. 

“Biasanya saya hanya ke air terjun untuk mandi-manda, tetapi kali ini berpeluang menginap di bilik dengan rakan. Kami berpeluang bersembang panjang dan melakukan aktiviti secara berkumpulan dan ini sangat menyeronokkan,” katanya.

No comments: