Friday, February 14, 2014

Kitar semula hanya 10.5 peratus

Sumber : Utusan Malaysia, 14/2/14

PUTRAJAYA 13 Feb. - Malaysia ketika ini hanya mencatatkan kadar kitar semula sebanyak 10.5 peratus, jauh ketinggalan berbanding negara-negara maju yang telah menjangkau lebih 70 peratus.
Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Noriah Hashim berkata, situasi itu berlaku ekoran sikap kurang peka masyarakat terhadap pengurusan sampah yang boleh dikitar semula.

Katanya, jika masalah tersebut tidak diatasi, tidak mustahil negara ini berdepan masalah pengurusan sampah pada masa akan datang, sekali gus mewujudkan persekitaran yang tidak sihat.
"Hasil kajian oleh kementerian mendapati setiap individu membuang sampah sebanyak 0.8 kilogram sehari, jadi anda bayangkan berapa banyak sampah yang dibuang oleh 28 juta penduduk negara ini dalam masa sehari.

"Pada 2012, kita juga mencatat rekod yang kurang baik apabila dalam sehari telah menjana 30,000 hingga 33,000 tan sampah sedangkan jumlah itu adalah jangkaan kementerian untuk tahun 2020," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah Peringkat Kebangsaan anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif PPSPPA, Datuk Ab. Rahim Md. Noor dan Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Datuk Dr. Nadzri Yahaya.

Menurut Noriah, bagi meningkatkan tahap kesedaran masyarakat di negara ini berhubung kempen kitar semula, pihak bertanggungjawab diminta memperluaskan pendidikan serta kempen bagi memupuk budaya kitar semula.

"Masyarakat kena peka dalam hal ini kerana sebelum ini mereka hanya anggap plastik, botol dan kertas sahaja yang boleh kitar semula walhal, banyak lagi sampah lain yang boleh dikitar misalnya sisa makanan.
"Untuk statistik komposisi pembuangan sampah di negara ini, yang tertinggi adalah sisa makanan iaitu 44.5 peratus diikuti plastik 13.8 peratus, lampin pakai buang 12.1 peratus dan sisa taman sebanyak 5.8 peratus," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan yakin mampu meningkatkan kadar kitar semula sehingga 22 peratus menjelang 2020.

© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: