Friday, February 14, 2014

Pembakaran terbuka dipantau

Sumber : Berita Harian, 14/2/14

Gua Musang: Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang dikesan membakar sampah di tapak pelupusan Kampung Renok Baru, di sini. 

Tindakan tegas itu terpaksa diambil bagi mengelak asap tebal menyelubungi Jalan Gua Musang-Kuala Krai yang boleh mengundang bahaya kepada pengguna. 

Penolong Pegawai Kesihatan dan Persekitaran MDGM, Mohd Hisham Hassan, berkata perbuatan membakar sampah di situ boleh mencetuskan pelbagai bahaya kepada orang ramai terutama ketika musim kemarau kini

Beliau berkata, kawasan pelupusan sampah itu kerap dibakar mereka tidak bertanggungjawab hanya kerana ingin mencari besi untuk dijual. 

“Kita kini memantau tapak pelupusan sampah itu supaya kejadian membakar sampah tidak berlaku lagi selepas ini,” katanya selepas meninjau operasi memadamkan kebakaran kawasan pelupusan sampah itu, di sini. 

Dua jentera terbabit operasi 

Operasi berkenaan membabitkan dua jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang dan Bomba Sukarela Kampung Baru dengan lapan anggota. 
Pasukan itu mengambil masa lebih lima jam untuk memadamkan kebakaran dengan dipantau Jabatan Alam Sekitar (JAS) cawangan Gua Musang. 

Sementara itu, Penolong Pegawai Kawalan JAS Cawangan Gua Musang, Isman Ismail, berkata kebakaran pada musim kemarau boleh menyebabkan kemusnahan alam sekitar. 

Justeru, beliau bersama pegawai lain akan turut memantau semua kawasan tumpuan sekitar daerah ini, bagi mengelak kebakaran terbuka sama ada sampah atau hutan. 

No comments: