Wednesday, February 12, 2014

Perlis perlukan sebuah insinerator lupuskan sampah, sisa pepejal

Source : Berita Harian, 12/02/14

KANGAR: Sebuah insinerator mesra alam untuk melupuskan sampah dan sisa pepejal dari seluruh Perlis perlu dibina bagi membebaskan negeri ini daripada tapak pembuangan terbuka, kata Menteri Besar Azlan Man. 

Menurutnya pembinaan projek itu di Rimba Mas, Padang Besar yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan pusat sangat penting dalam usaha memelihara alam sekitar dan kualiti udara di Perlis. 

Beliau berkata, pembinaan projek ini tepat pada masanya kerana tapak pembuangan terbuka di Padang Siding, Pauh, dekat sini yang terbakar dua hari lalu menyebabkan penduduk kawasan berhampiran berada dalam keadaan tidak selesa. 


"Kita harap projek ini dapat menyelesaikan masalah sampah dan sisa pepejal seluruh Perlis sebanyak 150 metrik tan sehari," kata Azlan kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini, hari ini. 

Menurutnya, walaupun kerajaan pusat telah menyediakan peruntukan untuk projek tersebut namun ia belum dapat dilaksanakan kerana masih ada beberapa isu membabitkan penduduk kawasan berkenaan untuk diselesaikan. 

"Dalam beberapa siri pertemuan ramai memberi sokongan positif namun masih terdapat segelintir yang perlu diberi penerangan mengenai teknologi yang akan digunakan selain projek ini bukan sebagai tempat melonggok sampah," kata Azlan. 

Beliau berkata, kerajaan persekutuan sudahpun melantik kontraktor bagi membina insinerator tersebut yang boleh memproses sisa makanan dan pepejal untuk menjana eletrik, manakala pelepasan asap tidak menjejaskan kualiti udara dan alam sekitar. 
Sementara itu, Azlan berkata kebakaran di Padang Siding bermuka dua hari lalu kemungkinan berpunca daripada puntung rokok atau pembakaran yang tidak disengajakan oleh pencari barangan buangan di tapak pembuangan sampah itu. 

Katanya, tindakan mencegah api merebak ke kawasan berhampiran diambil dan penghadang api akan dibina jika keadaan memerlukan. 

- BERNAMA

No comments: