Wednesday, February 5, 2014

Empat projek pelupusan tahun ini


JOHOR BAHRU 4 Feb. - Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) akan melaksanakan empat projek tapak pelupusan sanitari mesra alam dan berwajah baharu di negeri ini pada tahun ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Teknikal), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA), Sanusi Awi berkata, pembinaan tapak itu mengambil kira aspek keselamatan, pencemaran dan prasarana lengkap bagi meningkatkan tahap pengurusan sisa pepejal.

"Tapak pelupusan sanitari ini dilengkapi pembinaan sistem rangkaian dan kerja rawatan air larut resap, lapisan bawah tanah, kemudahan jambatan timbang serta kawalan air bawah tanah, gas metana dan pencemaran alam sekitar.

"Dengan adanya tapak pelupusan sanitari berteknologi tinggi yang baharu diharap dapat mengatasi masalah pencemaran dan kelewatan operasi kutipan sampah yang sering terganggu akibat keadaan tapak pelupusan yang tidak sempurna," katanya semasa merasmikan Bengkel Tindakan Pembersihan Negeri Johor di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah PPSPPA negeri, Asri Amat dan bekas Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Naim Nasir.

Program selama dua hari yang disertai oleh 108 peserta itu melibatkan kakitangan kerajaan dan agensi swasta bagi berkongsi idea serta menyediakan Pelan Pembersihan Negeri Johor Bagi Tahun 2014 untuk memastikan negeri ini semakin bersih.

Sementara itu Asri berkata, PPSPPA akan melaksanakan program mengurang, mengguna semula dan mengitar semula (3R) di peringkat sekolah, komuniti, institusi pengajian tinggi, jabatan kerajaan dan swasta sepanjang tahun ini.

"Program ini sangat penting bagi mengurangkan penjanaan sampah harian di negeri ini yang dianggarkan sebanyak 3,600 tan setiap hari dan terus bertambah sebanyak lima peratus setiap tahun," katanya.
Keadaan itu amat membimbangkan kerana kos pengurusan sisa pepejal sentiasa meningkat dan negeri ini telah kekurangan tanah untuk dijadikan tapak pelupusan, katanya.

No comments: