KLANG 12 Feb. - Penduduk di sekitar Solok Kemuning, Teluk Gadong dekat sini kesal ekoran sebuah tanah kosong di kawasan itu yang terbiar sehingga ditumbuhi semak samun dan pokok sekali gus menjejaskan perumahan tersebut.
Mereka juga 'sakit mata' apabila melihat sampah sarap yang bertaburan di kawasan berkenaan.
Bukan sahaja sisa domestik, malah perabot terpakai dan kotak turut dilonggokkan di situ selain sistem perparitan dipenuhi sampah serta tidak diselenggara.
Perbuatan tidak bertanggungjawab itu didakwa dilakukan oleh 'orang luar' yang membuang sampah tersebut tanpa rasa bersalah terhadap persekitaran walaupun telah diletakkan papan tanda larangan membuang sampah.
Penduduk juga bimbang jika ia menjadi habitat haiwan liar selain tempat pembiakan nyamuk aedes.
Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi terbabit hari ini mendapati, sebuah rumah usang yang tidak berpenghuni terdapat di kawasan berkenaan.
PAPAN tanda larangan membuang sampah yang dipasang oleh MPK tidak dipedulikan oleh segelintir pihak. - UTUSAN/IZHAM JAAFASeorang penduduk, Lee Soon Seng, 36, berkata, keadaan itu telah berlarutan sejak sekian lama dan tidak diketahui siapa pemilik asal rumah berkenaan.
"Saya pernah dimaklumkan bahawa kawasan itu akan dibangunkan dengan rumah banglo lima tahun lalu.
"Ada pihak yang datang membersihkan tanah kosong itu. Namun, sehingga sekarang tiada perkembangan lanjut berhubung pembinaan tersebut dan kawasan itu kembali dipenuhi semak samun," katanya.
Seorang lagi penduduk, Muhammad Tahir Abdul Salam (gambar), 30, memberitahu, sampah sarap tersebut dipercayai menjadi punca pembiakan nyamuk aedes di kawasan itu.
"Demam denggi yang dihidapi oleh anak saudara saya berkemungkinan berpunca dari kawasan tersebut. Pihak Majlis Perbandaran Klang (MPK) ada datang membuat semburan di kawasan ini," jelasnya.
Rakannya, Amir Mahmood Shaqed, 30, berharap pihak MPK dapat menyelesaikan kemelut yang dihadapi oleh penduduk.
"Saya meminta pihak MPK membersihkan kawasan tanah kosong itu termasuk sampah tersebut dengan segera," ujarnya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kota/20140213/wk_03/Semak,-sampah-merimaskan#ixzz2tTZkOBaA
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment